KISAH tular seorang bapa membawa bayinya yang sakit dan memakai alat bantuan pernafasan ke hospital menaiki motosikal mengundang rasa sebak rakyat Malaysia.
Namun, selepas ceritanya tular, sekali gus membongkarkan tentang status perkahwinannya, Mohd Azlan Ishak, 36, mengakui hidupnya kini semakin baik.
Ketika dihubungi, Azlan meluahkan rasa lega dapat meneruskan hidup secara sederhana, tetapi apa yang penting baginya adalah melihat anaknya kembali sihat dan ceria.
Ananya, Aariz Zafran kini menunjukkan perkembangan positif walaupun dilahirkan dengan masalah paru-paru kronik dan bergantung pada alat bantuan pernafasan sejak kecil.
Kisah Azlan menjaga anak sakit mendapat perhatian umum.
“Saya bersyukur kehidupan selepas berkahwin ini lebih baik daripada sebelum ini. Ibarat ‘rama-rama keluar daripada kepompong’, hidup kami sekeluarga jadi lebih bebas dan terbuka.
“Keadaan Aariz semakin pulih. Dia tak lagi bergantung sepenuhnya kepada oksigen. Pagi dan malam, dia boleh bermain selama tiga jam tanpa tangki oksigen. Cuma, guna tangki sepenuhnya waktu tidur saja.
“Berat anak saya dah mencecah 17 kilogram (kg) pada usia setahun lima bulan. Rasa sebak tengok dia mula berjalan dan sudah mula pandai panggil saya dengan panggilan “abah” kata Azlan yang jelas tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya.
Selepas kisah Azlan tular, seorang pengusaha kedai automotif di Alor Setar, Kedah menghadiahkan sebuah kereta Proton Persona terpakai bagi meringankan beban keluarga kecil ini.
Selain itu, Azlan juga menerima bantuan bulanan sebanyak RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menyara anaknya yang memerlukan rawatan berterusan.
Walaupun menerima bantuan kewangan kira-kira RM100,000 hasil sumbangan orang ramai, Azlan tidak mengambil kesempatan dan tetap bekerja keras untuk menyara keluarganya.
Malah, dia kini masih bekerja sebagai pembantu di pelantar ikan dan menghantar stok bahan mentah di sekitar Sungai Petani menggunakan motosikalnya sendiri.
“Kereta masih dalam keadaan baik dan kami gunakan untuk urusan keluarga. Syukur sangat dengan bantuan yang diberikan.
“Bantuan kewangan itu pula memang saya gunakan sepenuhnya untuk keperluan anak, termasuk masa depannya nanti. Tapi untuk keperluan harian, saya tetap berusaha dengan kudrat sendiri.
Kereta masih dalam keadaan baik dan kami gunakan untuk urusan keluarga.
MOHD AZLAN
“Sebelum dapat bantuan pun tak ada masalah saya tanggung dia cuma Allah bagi rezeki lebih jaga anak sakit. Jadi biaya untuk anak saya nak belajar bila sudah besar nanti pun sudah tak perlu risau lagi, boleh guna duit bantuan ni,” jelasnya.
Ketika kisahnya mendapat simpati ramai, seorang imam di Masjid Al-Makruf, Alor Setar mendedahkan Azlan dan wanita yang sering dilihat bersamanya Norhidayu, 36, belum berkahwin dan tinggal bersamanya.
Dakwaan itu mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan masyarakat sehingga Azlan membuat pengakuan belum disatukan sebagai pasangan sah pada 24 Mei lalu.
Susulan itu, Azlan dan Norhidayu segera bernikah pada 28 Mei lalu dan kini masih menetap di kediaman sama di Taman Kota Nelayan, Kedah.
Foto terkini Aariz dikongsikan Azlan.
Mengambil perkara itu sebagai pengajaran, Azlan berkata pengalaman itu banyak mengajar dirinya untuk berusaha dan berubah menjadi seorang suami, bapa dan insan lebih baik.
“Saya akui kesilapan lalu, tapi saya faham bahawa orang ramai tak tahu situasi sebenar.
Apa pun yang terjadi, janganlah sia-siakan nyawa bayi yang tak berdosa. Mereka tetap amanah Allah.
“Kini, saya hanya mahu fokus membesarkan Aariz dan memastikan dia mendapat kehidupan yang lebih baik di samping saya sebagai ayahnya.
“Dugaan yang saya lalui ini menjadi satu iktibar dan pengajaran bermakna untuk diri sendiri dan harapnya kepada orang lain yang mengikuti perjalanan kisah kami,” ujarnya menutup bicara.
sumber: mstar
Leave a Reply