BUKAN seorang, tetapi wanita ini mengambil alih membesarkan tiga anak saudaranya yang bergelar yatim piatu sejak dua tahun lalu.
Mengakui ia bukan tugas mudah, namun Norhaziantie Zailani, 34, berkata, dia ikhlas membesarkan ketiga-tiga anak arwah abang sulungnya, Mohamad Shafiq Zailani dan isteri, Faieznoor Mansor yang terkorban dalam kemalangan jalan raya pada 19 November 2022 bersama anak bongsu mereka, Daryan Marwa yang berusia 10 bulan.
Kini genap dua tahun Norhaziantie bersama suaminya, Mohammad Khirul Haznizam Roslan memikul amanah menjaga tiga anak saudaranya, Mohamad Danish Uqasha, 11; Dhia Medina, 7, serta Damiaa Melissa, 4, di samping tiga anak kandung mereka.
Lihat siaran ini di Instagram
Video perkongsian Norhaziantie di TikTok ketika membawa ketiga-tiganya menziarahi pusara arwah ibu, bapa serta adik bongsu mereka benar-benar mengundang hiba warga maya.
Malah, netizen turut memuji dan mengkagumi Norhaziantie kerana menjaga anak-anak saudaranya sama seperti zuriat sendiri, sebagaimana video-video lain yang dikongsikannya di TikTok.
“Sebenarnya, saya dengan arwah abang terlalu rapat. Umur kami beza setahun saja.
Arwah kahwin dengan kawan baik saya… anak sulung mereka juga adalah anak susuan saya.
“Malah kami tinggal berjiran. Anak-anak abang juga panggil saya ibu. Saya ingat lagi, dulu abang selalu cakap, kalau apa-apa jadi kepadanya, tolong jagakan anak-anaknya.
Keadaan kenderaan yang mengorbankan nyawa tiga beranak tersebut.
“Hari mereka meninggal dunia, anak sulung abang minta saya dan suami jadi ibu bapa dia dan adik-adiknya.
“Malah, saya pernah bermimpi jumpa arwah abang… dia kata… maaf susahkan adik, tapi minta tolong jaga anak-anak. Alhamdulillah walaupun bukan orang senang tapi dipermudahkan,” ujarnya
Keluarga besar Norhaziantie.
Dua tahun bergelar ibu dan bapa kepada enam anak, Norhaziantie berkata dia bersyukur kerana tiga anak kandungnya sangat memahami malah tidak pernah merungut apabila perlu berkongsi kasih sayang.
“Anak sava ketiga-tiganya beza setahun dengan anak arwah. Anak saya berusia 12, lapan dan lima tahun manakala anak arwah 11, tujuh dan empat tahun.
Saya sebolehnya layan sama rata semua enam anak. Tak ada lebih, tak ada kurang
Beli baju baru atau apa-apa. beli enam. Semua sedondon
NORHAZIANTIE ZAILANI
“Sava dan suami bukan orang senang. Kami berdua menjalankan perniagaan bantal kekabu sejak 2018. Pendapatan daripada perniagaan inilah kami sara kehidupan anak-anak yatim dan juga keluarga kami, dengan seorang anak ketika itu struggle kanser.
“Sava selalu beritahu anak-anak saya, kita dapat pahala apabila buat baik kepada anak yatim.
“Saya sebolehnya layan sama rata semua enam anak. Tak ada lebih, tak ada kurang.Beli baju baru atau apa-apa, beli enam. Semua sedondon,” ujarnya yang menetap di Felda Bukit Sagu 2, Kuantan.
Norhaziantie dan suami diapit oleh arwah Mohamad Shafiq Zailani dan isterinya, Faieznoor Mansor.
Berkongsi mengenai keadaan anak-anak saudaranya, Norhaziantie berkata anak sulung arwah yang mesa dipanggil Acha, merupakan seorang yang sangat matang.
“Dia selalu pesan kepada adik-adiknya supaya dengar cakap ibu. Yang kedua pula dia seperti masih sukar terima dan apabila ke kubur, selalu tanya pasal arwah ibu, bapa dan adiknya.
“Rutin kami memang selalu saja singgah kubur sebab ia laluan setiap kali nak hantar mereka ke sekolah. Sejak dua tahun lalu, saya hari-hari akan ke kubur kecuali jika tiada di Kuantan. Anak-anak pula selalunya setiap minggu.
Norhaziantie dan suamina menjalankan bisnes menjual bantal kekabu sejak 2018.
“Sebenarnya saya yang tak kuat sebab hilang satu-satunya abang dan kakak ipar yang merupakan kawan baik. Bukan tak reda tapi terlalu rindu. Namun saya perlu kuat untuk anak-anak.
“Saya tak sangka video baru-baru ni viral. Tapi ada satu komen buat saya tersentuh, katanya asbab ambil anak yatim piatu, anak saya sembuh daripada kanser. Sebak sangat.
“Ada yang minta nombor akaun nak beri sumbangan. Saya menolak tapi mereka kata nak menumpang pahala. Saya tak mampu membalas, hanya doa baik-baik berbalik kepada mereka,” akhirinya.
sumber: mstar
Leave a Reply