ALLAHYARHAM Datuk S Atan sering mengingatkan isterinya iaitu Datin Norizan Yeob tentang perpisahan yang bakal berlaku di antara mereka seminggu sebelum komposer terkenal itu meninggal dunia.
Kata Norizan, 60, arwah juga sering menyatakan hasrat untuk ‘pergi’ di rumah mereka selain enggan lagi menerima rawatan di hospital.
“Dia nak meninggal dunia di rumah dan tak mahu dirawat di hospital… malah arwah dapat menghembuskan nafas terakhir di sisi saya dan anak-anak.
“Dalam seminggu ini dia banyak beri nasihat. Dia pernah cakap pada saya tentang perpisahan dan perlu reda menerimanya.
“Ketika masih dalam keadaan sihat, dia pesan siapkan kain batik lepas dan kain putih untuk urusan kematiannya di rumah,” katanya
Norizan berkongsi perkara itu ketika ditemui di kediamannya di Kajang, Selangor.
Dalam pada itu, Norizan memberitahu S Atan turut berpesan agar dia tidak mengiringi jenazahnya ke tanah kubur untuk proses pengebumian.
Tambahnya apa yang berlaku sejak kebelakangan ini juga bagai petanda arwah bakal pergi selamanya.
“Dia bagaikan tahu nak pergi. Memang saya ada rasa namun tidak mahu berfikir.
“Saya ada di sisinya. Saya genggam tanya arwah ketika dia menghembuskan nafas terakhir,” kongsinya.
Sementara itu, Norizan memberitahu dia dapat memandikan arwah pada pagi Sabtu dan puas dapat menjalankan tanggungiawab membersihkan suami buat kali pertama dan terakhir.
Malah suaminya sempat memberi isyarat agar memasukkan RM50 ke dalam tabung sedekah khas disediakan arwah.
“Selama in saya tidak pernah mandikan dia, namun dapat berbuat demikian buat pertama kali dan terakhir pagi tadi (Sabtu).
“Dalam waktu Subuh dia juga menunjukkan isyarat lima jari sebagai tanda saya bersedekah RM50 ke dalam kotak khas yang memang sudah disediakan.
“Dia pergi dalam keadaan tenang. Saya reda dan puas dapat menjaga arwah. Cuma saya masih bersedih kehilangan orang tersayang,” ujarnya.
SAtan atau Hashim Said, 75, menghembuskan nafas terakhir pada pukul 3.53 petang Sabtu di kediamannya dekat Kajang, Selangor akibat sesak nafas.
Allahyarham memmilik enam orang cahaya mata bersama Norizan dan empat lagi menerusi perkahwinan terdahulu.
Jenazah dijangka akan dikhafankan dan disolatkan di Masjid Jamek Bandar Kajang pada pagi Ahad sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, Kajang sekitar pukul 11 pagi.
Datuk S Atan meninggal dunia pada pukul 3.53 petang Sabtu akibat sesak nafas.
SAtan atau nama sebenarnya Hashim Said menghembuskan nafas terakhir pada usia 75 tahun.
Berita pemergian komposer terkenal itu disahkan sendiri oleh isterinya iaitu Datin Norizan Yeob yang memaklumkan Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di kediaman mereka di Kajang, Selangor.
Norizan memberitahu arwah suaminya pernah dimasukkan ke sebuah hospital pada 16 Oktober lalu selama lima hari disebabkan masalah sesak nafas.
“Suami saya baru meninggal dunia sebentar tadi kerana sesak nafas.
“Sebelum ini dia ada menerima rawatan di hospital pada 16 Oktober lalu dan ditahan di wad selama lima hari akibat masalah sama,” katanya
Untuk rekod, S Atan merupakan komposer asal Singapura dan karyanya banyak dikenali khususnya menerusi lagu raya seperti Menjelang Hari Raya, Dari Jauh Ku Pohon Maaf, Balik Kampung, Cahaya Aidilfitri dan Indahnya Beraya Di Desa.
S Atan juga sudah menghasilkan lebih daripada 1,000 lagu untuk penyanyi penyanyi popular tanah air seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Tan Sri SM Salim, Datuk DJ Dave, Datuk Jamal Abdillah, Carefree, Black Dog Bone dan Allahyarham Datuk Sudirman Arshad.
Selepas lima dekad mewarnai industri hiburan tanah air, S Atan dianugerahkan Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) membawa gelaran Datuk pada sambutan Hari Jadi Ke-74 di-Pertuan Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam pada Ogos 2023.
Tidak hanya itu, Allahyarham juga baharu sahaja menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat di Anugerah Bintang Popular Berta Harian ke-36 (ABPBH36) yang berlangsung pada 11 Oktober 2024.
Anugerah itu diberikan atas bakti dan sumbangan beliau dalam bidang penciptaan lagu dan khazanah muzik Melayu.
Sumber: mstar
Leave a Reply