PELAKON Ruminah Sidek mendedahkan dia menerima bayaran sebanyak RM4,000 ketika membintangi filem Anak Bapak arahan Tan Sri P Ramlee sekitar tahun 1968.
Ruminah atau lebih mesra dengan panggilan Mak Mah, 78, berkata, meskipun tidak memegang watak utama dalam filem tersebut namun bayaran yang diterima itu membolehkannya membeli sebidang kebun durian.
“Saya terima bayaran sebanyak RM4,000 sahaja. Kamu jangan soal banyak kali. Tapi tak banyak hari saya shooting, hanya beberapa babak yang terlibat. Lebih kurang hanya lapan hari.
Ruminah berkongsi pengalaman dalam temu bual podcast.
“Waktu itu gelang emas baru harga RM60. Dengar macam sikit sahaja RM4,000 itu tapi saya dapat beli kebun durian. Kalau sekarang RM4,000 itu dapat apa sahaja?” katanya.
Ruminah berkongsi perkara itu menerusi sesi temu bual di Legasi Podcast yang dimuat naik di YouTube.
Dikendalikan oleh anakya sendiri iaitu pelakon dan pengarah Adlin Aman Ramli bersama Datuk Khairul Anwar Salleh, Ruminah turut berkongsi perbezaan berlakon pada zaman dahulu dan kini.
Cerita Ruminah, pelakon dahulu tidak melihat pada bayaran yang diterima dan lebih mengutamakan hasil kerja.
“Kalau dulu kami bekerja tak pandang pada bayaran. Kita tidak tahu berapa bayaran yang kita akan terima.
“Bezanya zaman sekarang kita nampak gaji dulu sebab mereka akan bertanya kerja apa yang ditawarkan dan berapa bayaran diterima.
“Kalau dulu suasana kerjanya menghormati di dalam satu pasukan kerja itu lebih penting.
Mereka akan berbincang dan disebabkan itu hasilnya terbaik kerana dalam sebuah pasukan it mempunyai sikap kekeluargaan.
Kalau sekarang saya tak berapa lihat perkara itu,” ujarnya.
Ruminah (kiri) berlakon bersama P Ramlee dalam filem Anak Bapak.
Dalam pada itu, Ruminah memberitahu meskipun usianya sudah mencecah 78 tahun, dia masih lagi mempunyai keinginan untuk terus berlakon.
“Masih ada (keinginan berlakon), kepenatan tidak ada bagi saya sebab selagi saya diberikan usia dan kekuatan, saya tetap akan terus berlakon.
“Cuma mereka antara berani atau tidak sahaja nak panggil saya berlakon. Mana tahu lakonan saya sekali lagi menjadi contohnya seperti filem Jangan Pandang Belakang,’ katanya.
sumber: mstar
Leave a Reply