Siswa terdesak tiada duit nak makan, biasiswa habis dijoli kakak dan abang… Minta hulur sikit pun tak dapat!

DIANUGERAHKAN biasiswa pastinya memberi kelegaan kepada pelajar yang menyambung pengajian di institusi pendidikan tinggi (IPT).

Selain membiayai yuran pengajian, biasiswa itu sedikit-sebanyak meringankan beban pelajar yang tinggal berjauhan daripada keluarga selain kos sara hidup semakin meningkat.

Namun siapa sangka nikmat it bagaikan dirobek apabila ada dalam kalangan ahli keluarga yang tumpang bergembira dengan membelanjakan wang biasiswa tersebut, seperti yang diluahkan seorang pemuda.

Mengulang kali pelajaran bersama rakan sekuliah. -Gambar hiasan

Tanpa mendedahkan jumlah biasiswa dan lokasi IPT, pelajar berusia 20 tahun itu meluahkan sering kali menjadi sasaran kakak dan abangnya yang tanpa segan silu meminta wang biasiswanya untuk kegunaan peribadi.

“Waktu dapat duit tu, abang dan kakak mesti minta. Tak pernah tak bagi sebab kasihan, paling tinggi kakak minta RM400, saya bagi,” katanya.

Menerusi luahan di laman X, pengadu memberitahu dia kemudiannya berdepan kesukaran untuk meneruskan kehidupan sebagai pelajar dek kerana kesempitan wang.

“Saya terdesak perlukan duit untuk makan. Jadi, saya minta kat kakak sebanyak RM30 untuk makan selama tiga hari,” ujarnya.

Malangnya, permintaannya itu tidak dapat dipenuhi kakakya yang merupakan suri rumah sepenuh masa.

“Dia tak bagi sebab katanya tiada duit. Okay, saya faham sebab dia tak kerja dan hanya bergantung sepenuhnya pada suami.

“Jadi, saya minta dekat abang dan dia juga kata tak ada duit. Tapi apabila tengok IG story ada post pergi makan malam dengan teman wanita,” katanya.

Selain ibu bapa, pemuda itu turut memberikan wang biasiswa kepada abang dan kakakya. – Gambar hiasan

Memaklumkan dia begitu mengharapkan bantuan daripada abang dan kakaknya, dia sekali lagi mencuba nasib dengan harapan dapat dibantu kali ini.

Bagaimanapun, jawapan yang diberikan mereka masih sama dan mengecewakan.

“Selepas empat hari berikutnya, saya cuba minta lagi sebab bekalan mi segera saya dah habis. Tapi abang mash cakap dia tak ada duit.

“Okay, saya faham dia tak nak bagi. Jadi, saya berhenti tanya,” katanya sambil menambah hanya mengisi perut dengan serbuk bijirin dan makanan ringan.

Duit biasiswa tu diberi sejumlah besar terus, kau kena fikir macam mana nak uruskan.

WARGA MAYA

Selain memberi sejumlah wang kepada kakak dan abangnya, dia turut memperuntukkan antara RM500 hingga RM700 buat ibu bapanya, bergantung kepada keadaan semasa semester berkenaan.

“Tak bagi (abang dan kakak), kasihan. Apabila bagi, mereka tak ingat jasa kita… penatlah,” luahnya kecewa.

Terpaksa mengikat perut demi meneruskan kelangsungan hidup sebagai pelajar. -Gambar hiasan

Menerusi ruangan ciapan balas, rata-rata warga maya terkejut dengan nasib malang pelajar tersebut yang dijadikan tempat mendapatkan wang segera.

“Lepas ni jangan bagi dah. Duit biasiswa tu diberi sejumlah besar terus, kau kena fikir macam mana nak uruskan. Memang nampak banyak, tapi kena fikir untuk berapa bulan kau nak hidup.

“Nama pun biasiswa, bukan duit gaji. Duit tu untuk kegunaan belajar, bukan kewajipan kau nak bagi mak ayah atau adik-beradik. Lebih-lebih lagi kakak kau tu dah kahwin, dia minta la duit kat suami.

“Baru duit biasiswa dah meminta-minta. Bayangkan apabila dah kerja macam mana?

Apabila dah selalu bagi, orang yang menerima akan rasa entitled. Apabila berhenti bagi, kita pula yang salah,” demikian antara komen warga maya.

sumber: mstar

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*