SEKADAR hanya 21 bulan merasai nikmat berumah tangga, pengarah Syamsul Yusof dan Ira Kazar sah bercerai talak satu pada Khamis.
Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor mengesahkan wujud pelanggaran taklik sebanyak lima kali dibuat Syamsul terhadap Ira sejak 14 Ogos lalu.
Hakim Syarie, Mohd Faizal Habis membuat keputusan itu selepas meneliti semua dokumen difailkan Ira pada 21 Ogos lalu.
Peguam mewakili Ira iaitu Muhammad Fadhil Abd Razak memberitahu wujud penceraian luar mahkamah namun bersyukur perkara itu selesai dengan baik.
Syamsul dan Ira berkahwin di Thailand pada Januari tahun lalu.
“Hari ini mahkamah sudah sahkan bahawa berlaku penceraian di luar mahkamah di antara Ira Kazar dan juga Syamsul.
“Mahkamah sahkan dokumen tersebut sekitar pukul 10.30 pagi tadi. Terima kasih kepada mahkamah kerana dapat selesaikan dengan segera,” katanya.
Fadhil memaklumkan perkara itu semasa ditemui selepas sebutan kes pengesahan lafaz taklik di antara Syamsul dan Ira.
Mengulas mengenai pelanggaran taklik, peguam mewakili Syamsul iaitu Azmi Mohd Rais menjelaskan perkara itu dibuat Ira secara rela dan tanpa paksaan sesiapa.
Tambah Azmi, Ira juga sudah pun memulakan tempoh idah sejak 14 0gos lalu.
“Mahkamah sahkan berlakunya perlanggaran taklik oleh Ira. perkara itu adalah dilakukan secara rela dan tanpa paksaan,” ujarnya.
Pada pagi Khamis, Azmi memberitahu pelanggaran taklik itu ada kaitan dengan hantaran media sosial yang dibuat Ira.
Bagaimanapun Azmi tidak memperincikan hantaran tersebut sehingga berlakunya pelanggaran taklik.
Syamsul bersama peguamnya Azmi Mohd Rais.
Untuk info, Syamsul atau Muhammad Syamsul Yusof, 40, memfailkan cerai terhadap Ira pada 19 Ogos lalu kerana dikatakan tidak lagi mempunyai persefahaman.
Sebutan kes berkenaan sepatutnya berlangsung pada 25 September ini di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor.
Untuk rekod, Syamsul dan Ira berkahwin pada 6 Januari tahun lalu di Selatan Thailand.
Perkara itu disahkan oleh Syamsul menerusi sebuah video yang dimuat naik dalam Instagram pada Januari tahun lalu.
Syamsul juga sebelum ini pernah berkahwin dengan Puteri Sarah pada 8 Mac 2014 dan bercerai pada 14 Jun tahun lalu.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 7, dan Sumayyah, 5.
Sumber: mstar
Leave a Reply