Wardina juga pernah jadi duta jenama ‘Isr4hell’… Awal Ashaari kecewa guna agama pec4h belahkan artis

PELAKON dan pengacara Awal Ashaari menyelar tindakan Wardina Safiyyah kerana memuat naik nama selebriti yang perlu diboikot susulan didakwa mempromosikan produk pro Israel.

Awal atau Ahmad Awaluddin Ashaari, 42, berkata, Wardina seharusnya lebih memahami komitmen seorang selebriti memandangkan dia juga pernah bergelar artis satu ketika dahulu.

“Sampai ke perhatian saya tentang seorang yang tidak mengenali saya secara peribadi, menyebut nama saya, isteri dan rakan artis yang tiada kaitan langsung dengan diri beliau.

Awal meluahkan rasa kesal di Instastory miliknya.

“Mencipta kebencian, cuba memecah belahkan kami dan warganet dengan menggunakan paksi agama serta isu Palestin yang ternyata berlarutan sejak dahulu.

“Apa motif beliau? Saya terkilan kerana beliau sendiri pernah bergelar artis dan menjadi duta kepada jenama-jenama ‘Israhell’ seperti yang ditegaskan beliau. Kenapa sekarang?” soalnya menerusi hantaran di Instastory miliknya pada Selasa.

Awal bersuara selepas Wardina dilihat lantang menyuarakan gerakan Blockout2024 bagi memboikot selebriti yang masih menjalinkan kerjasama dengan produk pro Israel.

Pelakon sitkom Spanar Jaya itu turut meminta netizen menyenaraikan dan memuat naik semula nama mereka termasuk Awal dan isterinya, Scha Alyahya di ruang highlight Instagram.

Dalam pada itu, Awal turut menyindir Wardina yang sebelum ini pernah meminta orang ramai berhenti menyebarkan kebencian terhadap individu yang tidak mempunyai kaitan dalam hidup mereka.

Kata Awal, dia mengulang siar hantaran tersebut kerana bimbang Wardina terlupa dia pernah memuat naik perkara itu pada Januari tahun lalu.

Awal turut tersenarai dalam nama selebriti yang mahu diboikot.

Sementara itu, Awal menegaskan masih banyak cara boleh dilakukan bagi mewujudkan kesedaran tentang situasi yang berlaku kepada umat Islam di Palestin.

Kata Awal, desakan memboikot hanya akan memberi impak negatif kepada golongan artis yang rata-ratanya hanya mencari rezeki untuk menyara keluarga.

“Ada cara lebih baik untuk berdakwah atau mencipta gerakan tapi bukan dengan kebencian, memecah belahkan rakyat Malaysia dan menabur pasir dalam periuk nasi kami sebagai anak seni.

“Rata-rata daripada kami berusaha dalam mencari pendapatan bagi menyara banyak mulut di rumah. Kami ada anak-anak yang tidak berdosa.

Awal mengulang siar hantaran yang pernah dibuat Wardina.

“Ada ibu bapa, mentua yang perlu kami sara. Ada adik-beradik yang bergantung hidup dengan kami. Ada pekerja yang berkeluarga yang perlu diberi gaji. Ada tanggungjawab kepada negara yang perlu kami langsaikan,” ujarnya.

Pelakon filem Syurga Cinta ini bagaimanapun memuji rakan artis yang berjihad memberikan doa dan sokongan tanpa menghakimi individu lain.

“Kita semua ada cara masing-masing dalam membantu dan mencipta kesedaran. Tak post, bukan bermaksud tak prihatin, tak derma bukan tidak bersimpati dan tidak membantu bukan bermaksud tidak berdoa,” tegasnya.

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Catatan Terakhir

Sumber : Mstar

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*