TULAR di media sosial tentang seorang gadis yang menyimpan helaian rambut milik arwah ibunya bagi mengubat rasa rindu.
Namun niat Amysyar Sofea yang hanya ingin berkongsi kisah dukanya itu mendapat kecaman orang ramai di ruangan komen setelah dimuat naik di TikTok hingga ditonton lebih 2.6 juta jumlah tontonan setakat ini.
Ketika dihubungi, gadis berusia 17 tahun itu memohon maaf sekiranya hantaran berkenaan menyebabkan ramai tidak selesa dan beranggapan Sofea hanya mahukan populariti semata-mata.
“Saya kongsi perkara tu hanyalah untuk meluah rasa rindu, bukan sebab nak views. Saya minta maaf jika perbuatan saya ni menyebabkan ramai pihak tak selesa.
“Ramai yang komen cakap saya mahukan populariti sampai sanggup tunjuk aurat arwah mak… sebenarnya saya rindukan dia saja. Sampai saya terpaksa rujuk semula ceramah ustaz mengenai rambut gugur sebagai aurat tu.
Sofea kehilangan ibu tersayang pada usianya 14 tahun.
“Ada juga yang komen tanya pada saya, mak tak datang minta balik ke rambut tu? Sejujurnya… jauh di sudut hati, saya pun harap mak datang untuk ‘jenguk’ saya sekali lagi,” ujar Sofea ketika dihubungi.
Bercerita mengenai kerinduan yang membelenggunya itu, Sofea berkata ibunya meninggal dunia pada tanggal 19 September 2021.
Katanya yang menetap di Pasir Puteh, Kelantan, ibunya menderita sakit kanser sejak 2017 namun perkara itu dirahsiakan adik-beradiknya sendiri.
“Saya baru berusia 14 tahun masa mak pergi tinggalkan kami. Selama mak sakit tu, adik-beradik saya tak beritahu saya pun. Cuma saya perasan yang mak keluar masuk hospital banyak kali.
“Tapi saya ingatkan hanya sakit biasa. Lepas mak meninggal barulah kakak dengan abang cerita yang mak hidap kanser. Kakak cakap yang mereka rahsiakan tu sebab saya masih kecil,” imbasnya.
Menurut cerita anak bongsu daripada enam adik-beradik ini, hanya salah seorang kakaknya tahu tentang helaian rambut milik ibu mereka yang disimpannya.
Kata Sofea dia mengambil helaian rambut yang gugur ketika mayat ibunya dimandikan.
Hingga kini helai rambut itu disimpan di dalam plastik lutsinar dan diselitkan pada dompet.
Sejujurnya jauh di sudut hati, saya pun harap mak datang untuk ‘jenguk’ saya sekali lagi.
AMYSYAR SOFEA
“Saya tak dapat bayangkan kalau rambut tu hilang. Mestilah saya akan jadi sedih. Tambah pula, saya tak ada kenangan sangat dengan arwah mak ketika hayatnya.
“Mak saya banyak terlantar di katil sahaja disebabkan penyakit kanser. Apa yang masih segar dalam ingatan saya adalah masa saya selalu urut kaki mak. Kaki dia rasa sejuk sangat,” imbasnya lagi.
Untuk makluman, Mufti Wilayah Persekutuan sebelum ini pernah menjawab mengenai status rambut wanita yang dipotong.
Ibu Sofea meninggal dunia pada 19 September 2021.
Di dalam mazhab Syafie, para pembesar mazhab ini kebanyakannya berpendapat bahawa rambut wanita yang sudah terpisah daripada badannya tetap dianggap sebagai aurat, haram dilihat lelaki ajnabi.
Bagaimanapun setelah diteliti beberapa pandangan, Mufti Wilayah berkata mereka lebih cenderung kepada mazhab Hanbali mengenai hilangnya pengharaman melihat aurat yang terpisah daripada (tubuh badan) wanita.
Hal ini juga disebabkan terdapat kesukaran untuk membezakan di antara rambut lelaki dan juga perempuan kerana kemungkinan rambut itu bukan sahaja daripada orang lelaki dan perempuan dewasa.
Barangkali ia datang dari kanak-kanak perempuan yang belum baligh, sepertimana yang difatwakan oleh Syeikh Dr Wahbah Al-Zuhaili Rahimahullah tentang rambut-rambut yang dikecualikan daripada pengharaman.
Bagaimanapun, perbuatan memotong rambut sendiri dan ditunjukkan dengan sengaja kepada lelaki ajnabi adalah tidak dibenarkan seperti yang dinyatakan dalam mazhab Syafie.
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Catatan Terakhir
Sumber : Mstar
Leave a Reply