“Bantu saya kembali berjalan ke masjid” – Usahawan OKU gigih jual sambal di TikTok, cari duit sendiri tampung kos pembed4han lutut

KEMALANGAN ngeri hingga menyebabkan suami dan juga bapa kepada seorang cahaya mata ini terlantar koma selama enam bulan cukup menginsafkan.

Umpama berpantang maut sebelum ajal, Amir Mohsin Mohd Bahrudin, 34, berkata dia bersyukur kerana diberi peluang kedua selepas mengalami Kecederaan Otak Traumatik (TBI) akibat kemalangan pada 2018.

Ketika dihubungi mStar, Amir mengimbas tentang peristiwa hitam yang berlaku hingga mengubah hidupnya kini.

Amir bakal menjalani pembedahan ketiga tidak lama lagi.

“Dulu saya bekerja di luar negara dan pada masa sama isteri pun mengandung. Selepas isteri bersalin, saya buat keputusan untuk pulang ke kampung melihat anak kami yang berusia 20 hari pada ketika itu.

“Tapi yang sedihnya saya alami kemalangan jalan raya selepas sampai di Malaysia. Doktor yang periksa saya dapati banyak pendarahan dalam kepala. Peluang untuk saya hidup pun 50 hingga 50 saja.

“Kata doktor kalau hidup pun mungkin koma selama dua tahun dan lumpuh,” katanya kepada mStar.

Selepas sebulan terlantar di hospital, Amir berkata dia kemudiannya dibawa pulang ke rumah.

Berkat penjagaan dan bantuan terapi oleh isteri, Siti Hawa Mohd Nasir, 31, yang merupakan graduan kursus fisioterapi, dia akhirnya kembali sedar dan berjalan tanpa bantuan pada Januari 2019.

“Bayangkan dalam keadaan berpantang pada ketika itu, isteri yang berkerusi roda menjaga saya yang berada dalam keadaan koma,” ujarnya.

Amir bersama anak dan isteri.

Cerita Amir lagi, ketika koma dia pernah bermimpi dijemput ke Tanah Suci Makkah.

“Masa koma tu saya mimpi pergi ke Makkah. Saya masuk dalam Kaabah sebelum sedar selepas enam bulan koma.

“Kerana mimpi itulah saya bercita-cita untuk tunaikan ibadah umrah pada bulan Januari 2024… saya kumpul wang melalui perniagaan.

“Saya pilih tarikh tu sebab tahun depan umur saya 35 tahun dan pada usia tu juga arwah bapa ayah saya men!nggal,” katanya lagi.

Katanya yang berasal dari Kelantan, dia bersyukur dikurniakan keluarga serta sahabat yang begitu baik hingga sanggup mengumpul dana bagi membantu kos rawatan sebelum ini memandangkan isterinya tidak bekerja.

Lelaki ini menjual sambal jenama sendiri bagi menampung kehidupan.

Kini, Amir merupakan seorang pemegang kad orang kelainan upaya (OKU) gara-gara masalah lutut akibat kemalangan lalu.

Dia yang sebelum ini bekerja di Jepun sebagai jurutera kini aktif menjalankan perniagaan Nasi Lemak OKU di Puncak Alam, Selangor dan Sambal Pak Amir sebagai mata pencarian utama untuk keluarganya.

“Selepas sedar daripada koma, saya berpindah ke Puncak Alam untuk mencari peluang lebih besar.

“Disebabkan saya kena tampung kos sara hidup yang besar, saya berniaga makanan. Saya menjual sambal menggunakan jenama sendiri, Dapur Pak Amir.

“Pada awal Februari tahun ni, saya bersyukur sebab menang Anugerah Ikon Usahawan Selangor Youth Community (SAY) daripada Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah,” ujarnya lagi.

Memiliki hampir 23,000 pengikut di TikTok, Amir menggunakan platform itu bagi memasarkan produk jualannya selain berkongsi tentang kisah peribadi untuk dijadikan kenang-kenangan.

Terbaharu Amir turut berkongsi videonya di hospital bagi melakukan beberapa prosedur sebelum menjalani pembedahan lutut kali ketiga yang dijangka pada pertengahan September.

Amir sewaktu menerima anugerah Liga Usahawan OKU (SAY).

Namun kata Amir ia bergantung kepada wang yang berjaya dikumpul bagi menampung kos pembedahan.

“Pembedahan kali ni disebabkan kemalangan dulu. Pembedahan pertama dulu untuk baiki tisu lutut kanan. Kali kedua adalah disebabkan jangkitan pada lutut.

“Tapi operasi ketiga ni memakan kos agak tinggi sekitar RM35,000. Jumlah bantuan diterima masih tak ada tapi jika jualan berhasil, saya boleh kumpul RM3,000.

“Bantu dengan beli produk sambal pun saya dah bersyukur… anggap la seperti bantu saya kembali berjalan ke masjid. Saya segan nak minta tolong orang tapi kalau ada yang nak tolong saya terima.

“Saya sendiri tak gemar sangat orang meminta-minta. Contohnya jenis minta sedekah dekat meja makan sedangkan masih boleh berjalan dan bertenaga,” katanya.

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Catatan Terakhir

Sumber : mstar

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*