Penyampai radio dan usahawan, Shuib mengesahkan dirinya bakal mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihan, Watie Hanifiah pada Jun depan.
Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Muhammad, 38, berkata persiapan menuju hari bahagianya itu kini sudah 30 peratus.
“Apa yang boleh saya kongsikan setakat ini persiapan sudah 30 peratus. Insya-Allah, pada bulan Jun dan bila semuanya sudah lengkap barulah saya bersedia untuk umumkan tarikhnya. Setakat ini semuanya berjalan lancar, alhamdulillah.
“Kalau boleh, saya tak mahu majlis yang terlalu ‘grand’, tapi tidaklah juga terlalu kecil-kecilan kerana memikirkan ahli keluarga kami berdua.
“Malah ini adalah perkahwinan pertama Watie, jadi sudah tentu keluarga belah sana mahu meraikan kami apa adanya. Apa pun, saya harap dapat buat majlis sederhana dan bermakna, jadi semua akan gembira,” katanya kepada MH.
Bapa kepada empat cahaya mata itu berkata demikian ketika ditemui di Majlis Iftar Melakar Pahala Warnai Raya Suria FM di Eastin Hotel, Petaling Jaya, pada Selasa.
Ditanya mengenai perasaan Watie, Shuib mendedahkan bakal isterinya gembira dan berharap semua proses berjalan seperti yang diharapkan.
“Dia sangat gembira memandangkan dengan apa yang dilalui, perjalanannya bagaimana sebelum ini. Dalam masa sama, berat juga untuk dia duduk di situ, tapi saya berharap semoga Allah permudahkan.
“Malah anak-anak selesa dengan dia begitu juga dengan keluarga. Saya rasa itu satu anugerah. Mungkin sebelum ini ada isu yang tak beberapa sedap didengari, itu dan ini. Tetapi sekarang apabila Allah sudah memudahkan proses itu, mungkin perkara ini adalah yang terbaik.
“Untuk saya, sudah semestinya rasa berdebar mahu bergelar suami sekali lagi, tapi bila mengenangkan anak-anak, saya rasakan saya perlukan seseorang untuk ada dengan saya menjaga mereka,” katanya lagi.
Mengakui perlukan sistem sokongan yang baik, Shuib menegaskan arwah isterinya, Allahyarhamah Siti Sarah tidak boleh diganti.
“Kita tahu kebolehan dan kemampuan kita, jadi bila ada orang sudi sama-sama dengan kita, ia satu pemberian Allah. Saya tak tahu masa hadapan macam mana, tapi sudah tentu saya mahukan yang baik-baik di masa akan datang.
“Jadi saya berharap semuanya dipermudahkan Allah. Saya perlukan sistem sokongan yang baik kerana saya tak tahu bagaimana untuk berseorangan dan bersendirian.
“Sejak dulu saya suka meriah, gembira, ramai-ramai, saya suka jemput orang datang rumah, jadi apabila saya sendiri, saya rasa itu bukan saya. Saya seorang yang bekeluarga.
“Saya suka keluarga, lagi besar keluarga itu, lagi saya gembira. Bila ada peluang macam ini, bila Allah sudah hadirkan orang yang sudi duduk dengan saya, jaga anak-anak saya, jaga saya juga, saya kena hargai, Insya-Allah.
“Arwah Sarah tidak boleh diganti. Itu sudah pasti. Tapi pada pandangan saya, ada 20 peratus sisi dia yang sama seperti arwah. Saya nampak dia boleh jadi ibu yang baik, Insya-Allah. Saya nampak usaha yang dia berikan untuk ibu saya, mertua selain untuk anak-anak saya juga,” katanya.
Komen netizen:
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Catatan Terakhir
Sumber : mediahiburan.my
Leave a Reply