Anak hulur 4 sampul nilai isi berbeza, tak sangka tangan penebar roti canai betul-betul ‘ong’!… Siap plan nak beli baja, benih buat cucuk tanam

ADALAH menjadi tanggungjawab setiap anak untuk membalas jasa ibu bapa yang telah bersusah payah membesarkan dan memberi pendidikan terbaik buat kita sehingga berjaya.

Pelbagai cara yang boleh dilakukan oleh anak-anak untuk menzahirkan rasa kasih di atas pengorbanan insan yang sudah banyak berjasa itu.

Namun pokok pangkalnya adalah ingatan, besar atau kecil nilainya bukanlah ukuran.

Sebagaimana video yang dikongsikan oleh seorang pelayar di aplikasi TikTok ini, dia membuat kejutan dengan memberikan wang tunai yang diisikan di dalam sampul kepada bapanya sempena hari lahir lelaki berkenaan.

Menerusi video tersebut, kelihatan pelayar itu menghulurkan empat helai sampul dan meminta bapanya memilih dua daripada kesemua sampul berkenaan yang sudah diisikan dengan nilai wang yang berbeza-beza.

Namun apa yang mengundang perhatian netizen adalah reaksi bapanya yang terlalu gembira apabila mengetahui ‘isi’ di dalam sampul yang dipilihnya.

Bapa Filzah sememangnya mepunyai perwatakan yang ceria dan sangat sporting dengan anak-anaknya.

Sehingga kini video tersebut meraih lebih 500,000 jumlah tontonan sejak ia dimuat naik pada Rabu.

Menurut pelayar bernama Fatin Filzah Jaafar, idea untuk memberikan hadiah hari lahir berupa wang tunai itu tercetus secara spontan, tambahan pula memikirkan bapanya kurang gemar dihadiahkan dengan barangan berjenama.

“Hari lahir ayah jatuh pada 20 Januari, ibu saya pula 9 Januari. Sebelum itu saya dah hadiahkan set telekung pada ibu sempena hari lahirnya. Jadi saya niat nak beri hadiah sama nilainya kepada ayah.

“Tapi ayah ni cerewet sikit… dia kurang gemar kalau dihadiahkan barangan mahal… mungkin sebab dah berusia juga. Jadi saya pun masukkan wang RM10 dalam dua sampul, dan RM 100 dalam dua sampul.

“Saya minta ayah ambil dua daripada sampul tersebut. Tak sangka tangan ayah betul-betul ‘ong’ sebab saya dah ‘chong’ banyak kali sampai saya sendiri tak boleh cam mana sampul ada RM100.

“Gembira bukan kepalang bila dia tengok isi sampul yang dipilih. Tapi sebenarnya kalau ayah salah pilih sampul pun, saya tetap akan memberikan sampul yang betul sebab dah niat awal-awal,” ujar wanita berusia 25 tahun ini.

Menurutnya yang senang disapa Filzah, dia sekadar berkongsi video berkenaan di aplikasi TikTok untuk menyebarkan mesej positif kepada orang lain agar tidak lupa menghargai ibu bapa masing-masing.

Memang tak tergambar perasaan gembira apabila melihat reaksi ayah terima hadiah hari lahirnya.

FATIN FILZAH JAAFAR

ANAK

“Ayah bekerja sebagai penebar roti canai sejak 39 tahun lalu. Dengan wang hasil titik peluh dia meniaga, dia besarkan kami adik beradik. Sekarang pun dia masih berniaga kerana sudah terbiasa.

“Kini apabila sudah bekerja, tiba pula giliran kami adik beradik berikan sesuatu sebagai tanda penghargaan dan membalas jasa mereka membesarkan kami.

“Memang tak tergambar perasaan gembira apabila melihat reaksi ayah terima hadiah hari lahirnya. Jadi rasanya tak salah berkongsi di media sosial untuk sebarkan mesej agar hargai orang tua.

“Alhamdulillah ramai yang beri komen positif… mungkin ramai terkesan sebab pemilihan lagu ‘Janam Janam’. Sengaja saya pilih lagu itu sebab ayah memang penggemar lagu Hindustan. Paling tak disangka, pengikut di TikTok pun terus bertambah selepas video itu viral,” ujarnya yang merupakan seorang pereka grafik di sebuah syarikat swasta di Setia Alam, Selangor.

Menurut Filzah, dia kini menetap bersama ibu bapanya di Kampung Delek Kiri di Klang, Selangor semata-semata mahu menjaga kedua-dua ibu bapanya yang sudah berusia.

Filzah (duduk, kiri) kini menetap bersama ibu bapa di Klang kerana mahu menjaga kedua-dua orang tuanya itu.

“Saya pernah menetap di Cyberjaya sebelum ini kerana bekerja. Tapi selepas ibu jatuh sakit, saya berhenti kerja dan tinggal bersama mereka. Alhamdulillah, dapat kerja baharu dekat juga dengan rumah dan boleh berulang-alik.

“Adik beradik lain sudah berkeluarga, jadi saya yang masih bujang ni boleh tengok-tengokkan mereka. Kalau ada apa-apa, saya boleh beritahu adik beradik lain. Masa bujang inilah saya nak gunakan masa sebaik-baiknya untuk menjaga mereka.

“Tanggungjawab kita sebagai anak terhadap orang tua takkan pernah habis. Saya bersyukur dengan kesempatan yang diberikan oleh Allah kepada saya. Jangan kita lupa doakan untuk kesejahteraan ibu bapa kita selalu,” ujarnya lagi.

Sementara itu menurut bapanya, Jaafar Mohammed A’aini, 59, dirinya berasa begitu bertuah dan bersyukur kerana dikurniakan anak-anak yang tidak pernah melupakan orang tua.

“Pemberian anak-anak ni, sikit atau banyak pakcik tetap gembira. Apa-apa pemberian pun pakcik seronok sangat kerana mereka ingatkan kita. Kita tak pernah meminta-minta tapi gembira sangat apabila ada ingatan daripada anak-anak.

“Dengan wang yang dihadiahkan oleh Filzah ni, pakcik rancang mahu beli baja dan anak benih kerana hobi pakcik adalah bercucuk tanam,” ujarnya lagi.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by mStar (@mstaronlineofficial)

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Catatan Terakhir

Sumber : Mstar

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*