Enam tahun jadi pelanggan setia, penjual nasi lemak tolong beli basikal baharu untuk Uncle… simpati tengok jalan kaki 5km datang gerai

SEBELUM ini video yang dimuat naik oleh seorang peniaga nasi lemak mengenai pelanggan tetapnya, iaitu seorang warga emas berbangsa Cina meraih melebihi 4 juta jumlah tontonan.

Video berkenaan nyata menyentuh hati netizen apabila ramai melahirkan rasa terharu dengan kemuliaan hati peniaga berkenaan yang tidak pernah berkira untuk memberikan makanan secara percuma kepada lelaki tua yang disapa Uncle itu.

Kisah Uncle sekali lagi tular selepas peniaga nasi lemak berkenaan, Siti Suhaila Isnin atau lebih dikenali di laman TikTok dengan nama Cik Sue, menghadiahkannya sebuah basikal baharu.

Jelas terpancar riak wajah terkejut bercampur terharu pada wajah Uncle yang seakan-akan tidak percaya apabila melihat sendiri basikal baharu yang dibeli hasil sumbangan pengikut Cik Sue.

Berkongsi cerita dengan mStar, Cik Sue berkata hasrat untuk membelikan Uncle sebuah basikal membuak-buak selepas warga emas itu datang ke kedainya dengan hanya berjalan kaki baru-baru ini.

“Bila saya tanya, Uncle cakap basikalnya rosak. Saya tanya staf, dia pun kata memang nampak Uncle berjalan kaki. Jarak dari rumah Uncle ke kedai saya lebih kurang lima kilometer (km).

“Sebelum ini pun selepas video terdahulunya tular, ramai yang nak bagi sumbangan dan bila tanya Uncle, nak tak basikal baharu sebab basikalnya dah buruk… tapi Uncle tak nak.

“Jadi kali ini basikalnya rosak, saya buka tabung sumbangan untuk kutip RM400. Dalam tempoh lebih kurang 12 jam, penuh orang bagi sumbangan untuk tabung basikal Uncle,” ujar wanita berusia 28 tahun ini.

NASI LEMAK

Kedai nasi lemak Cik Sue di Georgetown, Pulau Pinang.

Malah kata Cik Sue, pemilik kedai basikal berbesar hati memberi potongan harga kerana mahu turut sama menjadi sebahagian daripada penyumbang.

“Basikal itu kami serahkan kepada Uncle pada Isnin di rumahnya. Sebaik saja buka but kereta, Uncle terkejut. Beberapa minit juga dia seperti terdiam sebab tak percaya.

“Apa yang membuatkan saya seb4k, dia bersungguh-sungguh pelawa kami masuk rumahnya dan nak jamu air teh. Berulang kali dia ucap terima kasih sebab tak tahu nak luahkan perasaan dengan kata-kata lain,” katanya yang mengusahakan perniagaan nasi lemak di Jalan Datuk Keramat, Georgetown, Pulau Pinang.

Cik Sue berkata, dia menutup ‘tabung sumbangan’ sebaik sahaja sasaran kutipan berjaya diperolehi dan basikal diserahkan kepada Uncle.

BASIKAL 2

Cik Sue (dua dari kanan) ketika membantu gelandangan lain.

“Sebenarnya memang ramai yang nak menyumbang. Ada yang nak bank-in duit minta sampaikan kepada Uncle. Saya bukan tak mahu jadi orang tengah tapi bagi saya, agak bahaya untuk Uncle pegang wang tunai yang banyak.

“Kedua, susah sebenarnya pegang amanah orang. Jadi saya fikir, buat masa ini saya letak dahulu alamat kedai saya… saya galakkan kalau nak beri sumbangan, mungkin seeloknya beri pakaian atau barangan keperluan lain,” katanya lagi.

Berkongsi serba sedikit mengenai Uncle, Cik Sue berkata lelaki berusia 85 tahun berkenaan hidup sebatang kara selepas kem4tian isterinya beberapa tahun lalu.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by mStar (@mstaronlineofficial)


Uncle menyara hidup dengan mengumpul serta menjual barangan kitar semula seperti botol dan bekas plastik.

“Satu yang saya kagum dengan Uncle, walaupun tak berkemampuan, dia bukan seorang yang meminta-minta. Kalau datang ke kedai, dia nak juga bayar nasi lemak walaupun saya nak bagi percuma.

“Saya tak nak ambil duitnya tapi dia berkeras. Lepas tu pernah beberapa hari tak datang kedai… mungkin dia ingat saya bersimpati dengannya,” cerita Cik Sue sambil menambah, Uncle merupakan pelanggan tetapnya sejak 2017.

BASIKAL 3

Rata-rata netizen memuji CIk Sue kerana berhati mulia.

Tidak menyangka video Uncle mendapat basikal baharu yang dimuat naik olehnya meraih lebih 2.4 juta jumlah tontonan, Cik Sue berkata dia hanya mahu menggunakan medium media sosial untuk menyebarkan mesej positif kepada masyarakat.

“Kasih sayang tak ada batasan walau kita berbeza agama atau warna kulit. Keduanya, sebagai anggota masyarakat, kita perlu peka dengan keadaan sekeliling.

“Tak rugi pun berkongsi rezeki dengan orang lain. Kesenangan kita sebenarnya adalah ujian daripada Allah untuk melihat adakah kita bantu orang yang memerlukan.

“Saya buat semua ini adalah kerana Allah. Secara tidak langsung, kita manfaatkan medium yang ada untuk galakkan anggota masyarakat saling membantu serta boleh ambil sebagai inspirasi,” katanya lagi.

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Catatan Terakhir

Sumber : mstar.com.my

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*