Kayuh basikal 8,000 kilometer ke Makkah, isteri dan anak-anak tunggu Amar Baharin di Tanah Suci

PELAKON Amar Baharin hampir hilang semangat meneruskan misi berbasikal ke Tanah Suci Makkah
yang dirancang sejak tahun lalu.

Bagaimanapun kata Amar, 40, kata-kata isterinya iaitu pelakon Amyra Rosli menjadi pembakar semangat dia meneruskan misi mengayuh sejauh 8,000 kilometer bermula 28 April ini.

“Perancangan untuk berbasikal ke Tanah Suci Makkah telah dibuat sejak pertengahan tahun lalu tetapi apabila terlalu lama, ada ketika saya sendiri hilang semangat.

Amar lakukan persiapan rapi sejak tahun lalu.

“Tetapi kata-kata daripada isteri yang menaikkan semula semangat saya untuk mengayuh ke sana.

“Sudah tentu Amyra risau tetapi saya sudah jelaskan secara terperinci dan Alhamdulillah isteri faham tujuan sebenar saya ke sana,” katanya pada Jumaat.

Amar akan mengayuh bersama rakannya yang juga pendaki pertama Gunung Everest dari Malaysia iaitu Datuk Muhamad Mugharabbin Mokhtarrudin.

Pasangan duo itu dijangka memulakan kayuhan dari Perlis sebelum merentas ke beberapa buah negara lain seperti Thailand, India, Pakistan dan Iran sebelum tiba di Arab Saudi.

Amar dan Mugharabbin akan memulakan kayuhan pada 28 April ini dan dijangka tiba di Madinah pada Julai depan.

Berkongsi lanjut mengenai misi itu, Amar memberitahu penggembaraan itu hanya akan dilakukan tanpa ada pasukan bantuan lain.

Penggembaraan ini pastinya akan banyak cerita di sebaliknya yang boleh saya kongsikan kepada semua

AMAR BAHARIN
PELAKON

Kata Amar, dia dan Mugharabbin ingin merasai sendiri pengalaman kepayahan untuk secebis kemanisan tiba di Tanah Suci menggunakan jalan darat.

“Jika ada jarak terlalu jauh kami akan pasang khemah untuk bermalam di kawasan bersesuaian.

Jika ada negara tidak membenarkan kami merentas maka terpaksa menaiki pesawat.

“Kami mahu merasai bagaimana susahnya untuk ke Tanah Suci menggunakan jalan darat yang dilalui oleh penggembara pada zaman dahulu.

Amar dan Mugharabbin jayakan misi berbasikal ke Tanah Suci.

“Penggembaraan ini pastinya akan banyak cerita di sebaliknya yang boleh saya kongsikan kepada semua.

“Mungkin saya boleh berkayuh dengan jarak sama jika mengelilingi Malaysia tapi pengalamannya tidak akan sama. Apa pun bagi saya ini adalah jemputan Allah untuk ke Makkah,” jelasnya.

Sementara itu, Amar memberitahu Amyra dan dua anak-anak mereka akan menyertainya mengerjakan umrah selepas dia tiba di sana kelak.

“Saya rancang bawa keluarga ke sana dan insya-Allah semuanya bergantung kepada perialanan kami.

“Mungkin seminggu sebelum tiba di Madinah kami akan cari pakej umrah yang sesuai,” ujarnya.

Sumber: mstar

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*