Nah4s dirempvh Honda Jazz: Seorang lagi m4ngsa men1nggal dunia

SEORANG lagi mangsa meninggal dunia akibat kemalangan melibatkan sebuah kereta Honda Jazz yang dipercayai melanggar lampu isyarat merah di Jalan Persiaran Senawang 1, Seremban, pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, remaja berusia 17 tahun itu meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar (TJH) di Seremban, pada pukul 7.23 malam Isnin.

Menurutnya, ia menjadikan tiga kematian akibat kemalangan itu setakat ini.

“Mangsa menunggang salah satu daripada dua motosikal yang dirempuh kereta tersebut.

“Pemboncengnya yang berusia 13 tahun masih dirawat di TJH,” katanya.

Dalam kemalangan pada Khamis lalu, turut maut ialah seorang penunggang motosikal dan pemboncengnya, iaitu remaja lelaki masing-masing berusia 15 dan 16 tahun.

Pemandu kereta berusia 18 tahun dan penumpangnya berusia 17 tahun, yang kedua-duanya parah, masih dirawat di TJH.

Siasatan awal polis mendapati pemandu tersebut tidak memiliki lesen memandu yang sah.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dilaporkan dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam, Khamis lalu, kemalangan berpunca daripada sebuah kereta jenis Honda Jazz yang dipandu remaja berusia 18 tahun dari arah Senawang menuju ke Paroi, gagal mematuhi lampu isyarat merah sebelum merempuh dua buah motosikal. -The Star

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*