
IBU kepada salah seorang daripada tiga remaja yang maut akibat dirempuh sebuah Honda Jazz dalam kejadian di Jalan Persiaran Senawang 1, Seremban, pada 6 Mac lalu, enggan memaafkan pemandu kereta berkenaan dan mahu kematian anaknya terbela.
“Saya tidak akan biarkan saja orang buat anak saya macam ini.
“Sudahlah anak dua orang sahaja, sekarang seorang sudah tiada,” kata Haslinda Jupri kepada sekumpulan wartawan yang menemuinya di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban, pada Selasa.
Dalam kejadian pada sekitar pukul 8.30 malam itu, dua anak Haslinda iaitu Muhammad Aidil Ramdan Abdullah, 15, dan Muhammad Asraf Adha Abdullah, 14, yang menaiki dua motosikal berasingan, dirempuh Honda Jazz dipandu seorang remaja berusia 18 tahun yang gagal mematuhi lampu isyarat.
Muhammad Aidil Ramdan dan pemboncengnya, Muhammad Aswari Lotpi, 16, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.
Sementara itu, Muhammad Asraf Adha masih dirawat di HTJ berikutan mengalami kecederaan parah.
Seorang lagi rakan anaknya, Aisar Azim Abdullah, 17, yang sebelum ini bertarung nyawa di HTJ, disahkan meninggal dunia pada pukul 7.23 malam Isnin.
Tambah Haslinda, bapa kepada pemandu Honda Jazz berkenaan ada menemuinya dua hari lalu, namun menurutnya tiada permohonan maaf dibuat lelaki tersebut.
“Kalau anak saya hidup kembali, saya boleh maafkan,” katanya lagi.
Terdahulu pada Isnin, kakak kepada pemandu kereta berkenaan tampil memohon maaf secara terbuka kepada keluarga mangsa dan rakyat Malaysia.
Wanita dikenali sebagai Nur Athirah Najwa berbuat demikian susulan tindakannya mengeluarkan komen berhubung insiden tersebut yang menimbulkan kemarahan orang ramai.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din mengesahkan pemandu remaja berkenaan tidak mempunyai lesen memandu.
Sumber: Mstar
Leave a Reply