
RAMADAN adalah bulan penuh keberkatan, tidak hairanlah ramai mengambil peluang untuk bersedekah dan berkongsi rezeki dengan golongan memerlukan.
Namun, tidak semua usaha baik itu mendapat penghargaan.
Seorang wanita meluahkan rasa kecewa selepas niat murninya untuk bersedekah makanan kepada rakan-rakan sepejabat berakhir dengan kekecewaan.
Menerusi perkongsiannya yang tular, makanan tersebut yang disediakan bersama ibunya tidak dimakan dan dibuang begitu sahaja.
Wanita kecewa apabila masakan dimasak bersama ibu dibuang oleh rakan sepejabat. -Gambar hiasan
“Saya dan ibu masak makanan untuk 15 orang (rakan sepejabat). Buat nasi goreng udang, mi rebus, kek batik dan jelly ball.
“Tapi akhirnya rakan-rakan di tempat kerja makan tak sampai separuh. Saya hantar sekitar 5 petang tapi pukul 10 malam rakan kerja beritahu mereka buang semua sebab dah basi.
“Tapi bahagian makanan-makanan yang ada di rumah saya tak basi pun?” ujarnya yang pelik dengan maklum balas diterima.
Bukan itu sahaja, wanita ini turut dipulau oleh beberapa senior di pejabat kerana dituduh tidak menjemput mereka untuk menikmati hidangan tersebut.
Sedangkan menurut ceritanya, dia meletakkan makanan itu di ruang pejabat agar semua orang boleh mengambilnya secara bebas.
Tambah wanita ini lagi, sudah jadi satu ‘budaya’ di tempat kerjanya yang tidak memerlukan jemputan khusus untuk staf menikmati makanan yang dibawa ke pejabat.
“Tak pernah ada isu dan semua faham. Kami hanya akan jemput secara peribadi atau ‘PM (personal message) tepi’ pengurus jabatan sebab ada hari dia tak masuk pejabat terus.
“Tapi lepas kejadian, saya muhasabah diri dan cuba faham dari sudut pandangan senior saya. Kemudian, saya hantar mesej minta maaf, katanya.
Lepas ni saya nak bersedekah pada tempat lain. Makanan sama saya bagi pada tukang cuci.
PENGADU
Bercakap mengenai penyediaan makanan tersebut, wanita ini turut menceritakan bahawa ibunya bersusah payah memasak mi rebus sejak pagi bagi memastikan kuahnya cukup pekat dan enak.
Bukan itu sahaja, nasi goreng udang yang disediakan pula dimasak pada waktu petang dengan telur diasingkan bagi memudahkan mereka makan.
“Dari awal waktu saya hantar makanan ke pejabat, saya sudah terdengar ada yang tidak mahu makan. Kemudian, mereka kata sudah basi dan buang semuanya.
“Tetapi makanan yang sama di rumah saya masih elok sehingga kini,” katanya yang terkilan dengan sikap rakan-rakan sepejabatnya.
Perkongsian ini mendapat perhatian ramai netizen yang rata-rata bersimpati dengan nasibnya.
Komen netizen bersimpati dengan kisah dikongsikan pengadu.
Ada juga yang menasihatkan supaya dia memberikan makanan kepada golongan lebih memerlukan seperti pekerja pembersihan atau didermakan ke masjid dan surau.
“Kira hal ini pengajaran untuk saya. Lepas ni saya nak bersedekah pada tempat lain. Makanan sama saya bagi pada tukang cuci. Mereka gembira sangat sebab kumpulan rakan kerja saya buang (makanan).
“Terima kasih untuk cadangan dan kata-kata semangat tu. Saya akan ingat pesanan dan akan buat lebih baik pada masa akan datang,” jelasnya.
sumber: mstar
Leave a Reply