Tangan pakai selipar, ramai s4yu tengok semangat murid 0KU ke sekolah! Ibu tak kisah apa kata orang, mahu anak berdikari

“ADIK jalan, jalan. Boleh tak? Adik baik-baik eh.”

Begitulah suara keterujaan seorang ibu melihat anak lelakinya begitu bersemangat di hari pertama persekolahan pada Isnin meskipun berstatus orang kurang upaya (OKU).

Kanak-kanak itu berjalan menggunakan kedua-dua tangan dan kakinya, dengan dua tangan disarungkan dengan selipar bagi memudahkan pergerakan.

Rakaman murid tersebut berjalan bersama rakan-rakan menjadi tular di media sosial, hingga mencatatkan lebih 2 juta tontonan di TikTok.

Shairid merupakan kanak-kanak yang berdikari.

Berkongsi cerita di hari pertama persekolahan, ibu kepada kanak-kanak itu, Siti Azah Mohd Jinal berkata, dia menemani anaknya, Muhammad Shairid Hadif Ridhuan Shah yang berusia lima tahun memasuki prasekolah di Sekolah Kebangsaan Bukit Waha di Kota Tinggi, Johor.

Ibu berusia 38 tahun itu memaklumkan anaknya menghidap sindrom caudal regression (CRS) yang dilahirkan tanpa lutut dan betis sejak lahir.

“Ya, anak saya OKU. Tapi sebagai ibu, saya mahu dia dalam persekitaran normal bersama kanak-kanak normal lain.

“Macam pagi tadi, cikgu tak bagi dia beratur jalan dari kantin ke perhimpunan sekolah. Tapi nanti dia tak rasa momen-momen di sekolah bersama kawan-kawan,” katanya.

Kanak-kanak ini banyak berusaha sendiri.

Bercerita lanjut, ibu tunggal yang mesra disapa Azah ini memaklumkan anak bongsu daripada lima beradik itu memang dilatih untuk hidup lebih berdikari berbanding usia dan keadaan yang dialami kanak-kanak itu.

“Dia faham bila ada orang terkejut dengan keadaan dia. Macam sekolah di luar ada budak tak tahu tanya eei kaki dia kenapa? Tapi dia kuat, dia tak hiraukan dan tak berkecil hati pun.

“Anak saya ni memang budak yang sangat aktif, happy-go-lucky dan paling menyenangkan,” ujarnya yang berasal dari Kota Tinggi.

Sebagai ibu, Azah kagum dengan semangat anaknya yang sangat kuat.

Menurut Azah yang menetap di Felda Bukit Easter di Kota Tinggi, dia merupakan suri rumah dan membesarkan sendiri kelima-lima anak yang bersekolah dengan yang sulung sudah berusia 16 tahun.

Bagi menyara keluarga dia mengusahakan bisnes kuih secara kecil-kecilan seperti popia, puding jagung dan koleh kacang.

Memang saya nak dia macam orang normal, bergerak bebas dan berdikari.

SITI AZAH MOHD JINAL

IBU

“Inilah sumber pendapatan saya besarkan anak-anak. Saya hantar kuih ke gerai-gerai selain menerima tempahan,” katanya.

Seperti ibu bapa lain, kata Azah, dia juga gementar berada di sekolah melihat keadaan anaknya memasuki alam persekolahan.

Azah berniaga kuih secara kecil-kecilan untuk membesarkan anak-anaknya.

“Masa dia lahir, kaki dia tak bergerak. Masa enam bulan, ibu jari kaki baru bergerak. Dan mula merangkak masa umur setahun tiga bulan. Sekarang ni dalam keadaan macam tu, biarlah dia jalan ikut keselesaan dia.

“Biarpun tak ada tapak kaki, dia mampu berdiri. Kalau dia berkerusi roda, siapa nak tolak dia?

“Lagipun cikgu kata IQ dia normal. Biarlah orang nak kata apa, saya mahu dia jadi lebih berdikari. Memang saya nak dia macam orang normal, bergerak bebas dan berdikari,” katanya sambil menambah dia mempunyai dua lagi anak yang turut belajar di sekolah sama untuk memantau keadaan adik mereka.

Jelas Azah, semangat anak bongsunya yang sangat kuat itu turut memberi inspirasi menjalani kehidupan dalam membesarkan anak-anak.

“Bila saya down, sedih… saya akan pandang anak yang sendiri kuat semangat, buat apa pun sendiri. Jadi, saya patut tunjuk diri saya lagi kuat dalam persekitaran normal,” katanya.

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! TTK

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @Teh Tarik Kaw

Sumber:mstar

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*