POLIS mengesahkan mereka merekodkan keterangan seorang wanita yang mendakwa akan berkahwin dengan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, pada April ini.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata pihaknya sedang dalam proses melengkapkan siasatan terhadap wanita berusia 38 tahun yang dikenali sebagai Faridah Daud.
“Kami berjaya mengesannya di Perak, dan keterangannya telah direkodkan.
“Siasatan kini di peringkat akhir sebelum kes diserahkan kepada pejabat timbalan pendakwa raya,” kata Yahaya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Pahang pada Selasa.
Yahaya berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Pada 17 Disember lalu, Yahaya menggesa wanita berkenaan tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan berhubung dakwaan tersebut.
Terdahulu, Istana Pahang menafikan sebarang perkahwinan melibatkan Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dengan mana-mana individu pada April ini.
Dakwaan Faridah di Instagram menimbulkan kekeliuan dalam kalangan orang ramai, sekali gus mendorong pihak polis untuk menjalankan siasatan.
Sumber: mstar
Leave a Reply