PELAWAK Along Cham melakukan sujud syukur ketika berada di kandang tertuduh selepas satu kes dadah melibatkan dirinya dikasifikasi sebagai dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA).
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Sesyen Sepang, Ahmad Fuad Othman selepas membenarkan pertuduhan kes dadah Along dipindah ke Mahkamah Majistret.
Justeru, pihak pendakwaan menukar pendakwaan daripada 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan sebatan tidak kurang 10 kali, jika sabit kesalahan kepada 39A(1) akta yang sama.
Along dibenarkan untuk diikat jamin sebanyak RM5,000.
Pertuduhan berkenaan dipinda selepas laporan kimia menunjukkan berat ganja yang dirampas daripada Along adalah kurang daripada 49.61 gram.
Mengikut pertuduhan baharu itu, Along atau Muhammad Nizamudin Ahmad, 42, didakwa memiliki dadah jenis ganja anggaran berat 48 gram di kediamannya di Cyberjaya, Selangor pada 14 Disember 2024.
Jika disabitkan bersalah Along boleh dikenakan penjara minimum selama dua tahun dan tiga sebatan.
Dalam pada itu, bagi satu lagi pertuduhan pelawak itu didakwa di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda tidak melebihi RM5,000, dan pengawasan serta-merta untuk tempoh tidak melebihi tiga tahun, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun Along mengaku tidak bersalah bagi kedua-dua pertuduhan itu yang dibaca di hadapan Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan.
Dia kemudian dibenarkan untuk diikat jamin sebanyak RM5,000 bagi kedua-dua pertuduhan itu.
Sebutan kes dan laporan kimia bagi kes berkenaan akan disebut pada 7 April depan.
Untuk rekod, pada 14 Disember tahun lalu, Along ditahan bersama dua paket disyaki dadah jenis ganja di rumahnya, Cyberjaya, Selangor.
Along (tiga dari kiri) bersama wakil peguam.
Serbuan yang dilakukan sekitar pukul 3.10 petang itu mendapati hasil ujian saringan air kencing pelawak berkenaan positif dadah.
Sementara itu, Along juga mempunyai satu lagi pertuduhan di Mahkamah Majistret iaitu didakwa miliki bahan disyaki dadah berbahaya jenis kanabis anggaran berat 2.07 gram, di lokasi, masa dan tarikh sama.
Dia dituduh mengikut Seksyen 6 ADB 1952 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
sumber: mstar
Leave a Reply