Individu ser4ng lelaki OKU bakal disam4n RM1 juta, G57 harap keluarga tak tarik balik laporan p0lis

INSIDEN seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) dengan masalah mental dibelasah beberapa individu mendapat perhatian Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57).

Susulan kejadian menyayat hati di pasar tani di Chukai, Terengganu pada pagi Jumaat itu, Pengerusi G57, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata pihaknya sedia untuk menyaman individu yang terlibat sebanyak RM1 juta.

Saman berkenaan sebagai pampasan kerana mengasari dan mencederakan mangsa OKU terbabit dan satu amaran keras kepada penganiayaan dan penindasan terhadap golongan tidak berdaya.

“Saman ini adalah nilai yang perlu dikenakan ke atas kumpulan penyerang itu kerana bertindak di luar batas undang-undang.

“Kumpulan peguam kami akan menghubungi keluarga lelaki itu bagi berbincang dan berharap mereka bersetuju untuk memulakan proses saman,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Zulkarnain turut mengaitkan insiden itu dengan penindasan Israel terhadap rakyat Palestin.

“Rakyat Malaysia tidak seharusnya double standard dalam memperjuangkan prinsip kemanusiaan.

“Kita menentang kekejaman Israel, tetapi pada waktu sama kejadian menimpa lelaki OKU itu jelas menggambarkan perilaku yang serupa dengan negara haram berkenaan,” ujarnya.

Tambah Zulkarnain, dia berharap keluarga mangsa tidak menarik semula laporan polis yang dibuat.

Kami juga bersedia untuk melangsaikan kerugian peniaga yang terjejas akibat kesilapan mangsa OKU terbabit,” katanya.

Terdahulu, tular video di media sosial memaparkan mangsa diseret di atas jalan serta ditendang di bahagian badan dan kepala mengakibatkan kecederaan pada muka.

Ketegangan dikatakan bermula apabila mangsa yang menunggang motosikal melanggar sebuah gerai di pasar tani itu sehingga menyebabkan barangan jualan bertaburan.

Pihak polis menjalankan siasatan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Sumber: mstar

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*