WALAUPUN mengalami masalah pembelajaran namun anak perempuan pelawak Achey membuktikan dia mampu berjaya apabila mendapat keputusan cemerlang penilaian akhir tahun peringkat prasekolah.
Achey atau Mohd Nasir Hamzah, 39, memaklumkan Tiara mendapat 6A dalam peperiksaan tersebut menerusi subjek Bahasa Arab, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Jawi dan Pendidikan Islam.
Bagaimanapun bagi subjek Bahasa Melayu, Tiara yang berusia tujuh tahun memperoleh gred D.
“Alhamdulillah saya sangat berterima kasih kepada pihak sekolah dan kredit sepenuhnya kepada guru-guru yang mengajar Tiara.
Achey turut memberi penghargaan buat guru yang mendidik anaknya.
“Untuk peperiksaan akhir tahun dia mendapat markah yang sangat cemerlang dan menunjukkan perubahan ketara berbanding sebelum ini,” katanya.
Dalam pada itu, Achey bersyukur dengan keputusan diperoleh Tiara walaupun mendapat D dalam subjek Bahasa Melayu.
Besar harapan pelawak itu agar Tiara mengekalkan rentak cemerlang apabila memasuki alam persekolahan tidak lama lagi.
“Awalnya macam nak mengamuk juga sebab pelik jauh betul markah (Bahasa Melayu) berbanding subjek lain.
“Tapi saya tetap bersyukur sebab Tiara memang agak perlahan dalam pembelajaran dan Alhamdulillah sekarang dia menunjukkan perubahan ketara.
“Harap-harapnya Tiara dapat teruskan prestasi cemerlang dalam pelajaran apabila melangkah masuk ke darjah satu nanti,” ujarnya.
Pada Ogos 2023, Achey mendedahkan Tiara mengalami masalah pembelajaran dan disebabkan itu dia mengasah kemahirannya dalam bidang perniagaan.
sumber: mstar
Leave a Reply