SETIAP jodoh dan pertemuan pasti ada cerita yang tersendiri.
Begitu juga dengan kisah manis dikongsikan Jannah Harun, 31, tentang pertemuan kali pertama dengan pasangannya berhampiran Lebuhraya Persekutuan di Kuala Lumpur.
Bercerita lanjut kepada mStar selepas perkongsiannya tular di TikTok, Jannah berkata segala-galanya bermula dengan sapaan seorang jejaka bernama Firdaus Sufi di Facebook sekitar enam tahun lalu.
Menurut wanita itu, Firdaus, 36, sebenarnya sudah lama cuba mendekatinya di ruangan sembang di platform Facebook.
Jannah mula mengenali hati budi Firdaus selepas ditegur melalui Facebook.
“Dia selalu saja hantar mesej, tapi saya tak pernah balas. Mungkin sebab masa tu saya fikir tak ada apa-apa yang menarik sangat.
“Tapi entah kenapa pada satu malam sekitar November 2018, hati saya tergerak untuk balas ‘hi’ kepadanya”” kata Jannah.
Daripada sapaan itu, bermulalah perkenalan antara mereka dan berlarutan ke peringkat seterusnya dengan pertemuan empat mata secara tidak disangka-sangka iaitu di persimpangan lampu isyarat di Taman Desa berhampiran Lebuhraya Persekutuan.
Jelasnya yang sudah berumah tangga sejak lima tahun lalu, itulah kali pertama dia dan Firdaus bertemu secara berdepan.
“Pada hari berkenaan saya beritahu dia yang saya tengah memandu di Federal Highway nak balik rumah. Kemudian saya pelik kenapa pula dia minta nombor plat kereta saya.
“Lepas saya berikan, tiba-tiba masa sampai di lampu isyarat… kereta dia ada di sebelah kereta saya. Rupanya dia nak ke rumah adik di Cheras. Dia tegur saya sambil tersenyum.
“Saya senyum balik. Kami pun sempat bergambar bersama dari dalam kereta masing-masing. Malam tu, kami berborak sekejap sebelum bertukar nombor telefon,” ujar Jannah lagi.
Walaupun pertemuan itu terjadi secara kebetulan, Jannah merasakan ada sesuatu yang istimewa tentang cara Firdaus mendekatinya.
Dia tak main-main, terus bawa ibu bapa jumpa keluarga saya.. sangat gentleman.
JANNAH
Menjelang Disember 2018, Firdaus membuat langkah berani membawa ibu bapanya bertemu keluarga Jannah untuk meminta restu bagi menjadikan hubungan lebih serius.
Pasangan ini mengikat tali pertunangan pada Februari 2019 dan akhirnya sah bergelar suami isteri pada Disember tahun sama.
“Dia tak main-main. Terus bawa ibu bapa dia jumpa keluarga saya. Saya rasa itu salah satu sebab kenapa saya yakin dengan dia. Dia sangat gentleman dan berani bertanggungjawab.
“Saya jumpa ramai lelaki sebelum ini, tapi kebanyakannya tak gentleman. Tapi Firdaus lain. Dia terus tunjuk kesungguhan untuk jadikan saya isteri,” ujarnya.
Pasangan ini dikurniakan dua cahaya mata sepanjang tempoh lima tahun perkahwinan.
Jannah mengakui dia tidak menyangka perjalanan jodohnya akan seindah ini, terutama selepas melalui banyak kekecewaan dalam percintaan sebelumnya.
Ujar ibu kepada dua cahaya mata ini lagi, dia tidak menyangka perkongsian tentang kisah pertemuan dengan suaminya sempena ulang tahun kelahiran jejaka berkenaan menarik perhatian warga TikTok.
Malah dia juga terhibur dengan respons warga maya yang turut mengimpikan agar dipertemukan jodoh di lampu isyarat sama sepertinya.
Bagaimanapun bagi Jannah, pertemuan tidak terancang di Lebuhraya Persekutuan itu adalah bukti bahawa jodoh akan datang pada waktu yang tepat.
sumber: mstar
Leave a Reply