ISTERI kepada pelawak Along Cham iaitu Afreena Suhaimi meminta suaminya itu terus cekal dan kuat berdepan ujian yang dihadapi.
Kata Afreena, dia akan sentiasa berada di sisi suami dan percaya segala kesukaran ini akan digantikan dengan kemanisan kelak.
“Awak adalah dunia saya, saya tahu ia sukar (ujian) dan sakit untuk dilalui tetapi percayalah Allah akan menggantikan dugaan ini dengan perkara lebih baik.
“Awak bertahan ya sayang, saya tahu bukan mudah. Saya sentiasa ada untuk awak.
Afreena sentiasa memberi sokongan kepada Along yang sedang menjalani hukuman reman.
“Tempat awak adalah di rumah, rumah adalah tempat awak yang sebenar,” katanya.
Afreena berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Instagram pada Rabu.
Dalam pada itu, Afreena memberitahu dia tidak ambil pusing dengan kata-kata yang dilemparkan netizen kepada suaminya itu.
Malah dia sebagai isteri berjanji tidak akan meninggalkan pelawak berkenaan walau apa pun yang terjadi.
“Tidak kisah apa sahaja orang mahu bercakap fasal awak (Along), saya sentiasa akan berada di sisi dan mempertahankan awak.
“Saya akan tunggu dan tidak akan meninggalkan awak walau sesaat,” ujarnya.
Pada 14 Disember lalu, Along ditahan bersama dua paket disyaki dadah jenis ganja.
Serbuan yang dilakukan sekitar pukul 3.10 petang itu mendapati hasil ujian saringan air kencing pelawak berkenaan positif dadah.
Afreena sentiasa berdoa agar suaminya kuat menghadapi ujian.
Along bagaimanapun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Sepang pada 20 Disember lalu atas pertuduhan memiliki dadah jenis ganja anggaran berat 58.23 gram.
Dia bagaimanapun tidak dibenarkan ikat jamin dan sebutan kes pada 27 Januari depan.
Along didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (2) akta sama.
Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau suatu tempoh tidak kurang daripada lima tahun dan sebat maksimum 10 sebatan.
sumber: mstar
Leave a Reply