Tengku Muhammad Iskandar selamat nikahi Tengku Natasya dengan sekali lafaz

PUTERA Sultan Pahang, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Riayatuddin Shah dan pasangannya, Tengku Natasya Puteri Tengku Adan, selamat dijabkabulkan dengan sekali lafaz dalam Majlis Istiadat Akad Nikah Diraja pada pukul 8.50 malam, Khamis.

Majlis penuh istiadat itu berlangsung di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz, Kuantan.

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyaksikan istiadat berkenaan diringi

Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Majlis penuh istiadat itu diserikan lagi dengan kehadiran Sultan Pahang diringi Tengku Ampuan Pahang.

Turut berangkat adalah paduka-paduka anakanda yang mengenakan persalinan rona hijau.

Sejurus selesai akad nikah, Pengantin Putera Diraja diringi untuk menunaikan solat sunat sebelum pengantin perempuan dibawa masuk ke Balai Mahkota untuk upacara penyerahan mas kahwin dan menyarung cincin.

Upacara kemudiannya diteruskan dengan Istiadat Merenjis dimulakan oleh Al-Sultan Abdullah, Tunku Azizah Aminah dan Tengku Hassanal.

Upacara Perkahwinan Diraja akan diteruskan pada Jumaat di mana akan diadakan Istiadat Berinai bagi pasangan pengantin Diraja ini manakala Istiadat Persandingan akan diadakan pada Ahad ini.

Pada 28 Oktober pula akan berlangsung Istiadat Santap Nasi Adap-Adapan dan Istiadat Bersiram yang juga diadakan di Istana Abdulaziz sebelum Istiadat Menutup Kerja diadakan dengan acara menurunkan Bendera Istiadat Menutup Kerja dikuti dengan 16 das tembakan meriam.

Tengku Muhammad Iskandar selamat disatukan dengan pasangannya Tengku Natasya pada Khamis malam.

Semua istiadat disiarkan secara langsung melalui dua buah layar besar yang disediakan di Dataran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan sebuah layar di Dataran Bandar Diraja Pekan.

Beberapa acara seperti karnival jualan turut diadakan di kedua-dua lokasi iaitu sepanjang tarikh Istiadat Perkahwinan Diraja berlangsung.

sumber: mstar

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*