Raffi Ahmad terima ijazah doktor kehormat di Thailand, netizen siasat lokasi universiti tidak wujud

IJAZAH Doktor kehormat yang diterima oleh pelakon Raffi Ahmad menerima pelbagai reaksi netizen termasuk ada yang mendakwa lokasi universiti member pengiktirafan itu tidak wujud.

Kompas melaporkan, seorang warganegara Indonesia yang menetap di Bangkok, Thailand memuat naik ciapan di laman X memberitahu dia berusaha menjejaki Universiti Institute Professional Management (UIPM) yang beralamat di Vibharadi-Rangsit 64 Yeak 3.

Namun carian itu gagal kerana tiada sebarang kampus ditemui melainkan sebuah hotel.

“Saya sampai masuk ke bangunan itu dan bertanyakan kepada penyambut tetamu tentang kebenaran alamat universiti itu di laman web UIPM. Ternyata bukan kampus,” tulisnya.

Netizen mempertikaikan gelaran doktor kehormat yang diterima oleh Raffi.

Dalam pada itu, terdapat beberapa kemungkinan kerana UIPM turut mempunyai tiga lagi cawangan di Rusia, Amerika Syarikat dan Indonesia.

Pengguna X yang dikenali sebagai Niar Ibrahim Rose itu turut mahu mendapatkan kepastian daripada Raffi tentang lokasi sebenar kampus yang dimaksudkan penyanyi berkenaan sebelum ini.

“Jadi sebenarnya pejabat kampus UIPM ini ada di Bangkok, Bekasi, Russia atau Amerika ya Raffi?” soalnya.

Sementara itu, menerusi ruangan komen ada netizen yang turut mencari alamat UIPM di Amerika Syarikat menerusi carian peta di internet namun sama seperti di Thailand, alamat yang tertera adalah kawasan kediaman dan bukannya kampus universiti.

“Kalau di Amerika dilihat dalam peta cuma ada rumah orang, tak ada pun nama UIPM tertera di peta. Ada yang boleh jelaskan perkara ini,” tulis netizen.

Pada Jumaat lalu, Raffi memaklumkan dia menerima gelaran doktor kehormat dari UIPM, Thailand.

Pelakon tersebut menerima gelaran tersebut dari Profesor Kanoksak Likitpriwan selaku Presiden UIPM di Thailand.

Kata Raffi, gelaran itu diterima atas penglibatannya selama 23 tahun di dalam industri hiburan.

sumber: mstar

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*