KISAH penderaan bayi dan kanak-kanak yang dipaparkan di media arus perdana serta media sosial sememangnya menimbulkan kebimbangan kepada golongan ibu bapa.
Namun, disebabkan tuntutan tugas demi mencari rezeki, ibu bapa tiada pilihan melainkan terpaksa meninggalkan anak kecil mereka sama ada di taska, rumah pengasuh atau di bawah jagaan pembantu rumah.
Alangkah bertuah dan beruntungnya bagi ibu bapa yang dikurniakan pengasuh yang baik hati serta menyayangi anak asuhannya sama seperti anak sendiri.
Dalam satu perkongsian di TikTok, video yang memaparkan gelagat seorang pembantu rumah bersama anak-anak majikannya benar-benar menyentuh hati warga maya.
Lihat siaran ini di Instagram
“Saya tidur lama sangat… terdetik nak tengok CCTV. Rupanya ini yang bibik buat dekat anak-anak saya,” demikian kapsyen yang mengiringi video berkenaan.
Menerusi video tersebut, kelihatan pembantu rumah berkenaan sedang memangku bayi dan memeluk anak kecil majikannya, sebelum dia mencium dahi kedua-dua anak majikannya.
Kelihatan juga wanita tersebut melayani anak majikannya dengan penuh kasih sayang ketika sedang mengaji dan bersiap untuk ke sekolah.
Sehingga kini, video berkenaan meraih lebih daripada 1.2 juta jumlah tontonan.
Berkongsi cerita dengan Star, pemilik video yang hanya mahu dikenali sebagai Yaya berkata, momen berkenaan dirakam ketika dia jatuh sakit baru-baru ini.
Bukan senang tugasnya tambah lagi dua anak saya masih kecil. Dia memang seorang yang penyabar
Yaya
“Disebabkan itu, saya perlu banyak berehat dan menyerahkan tugasan jaga empat anak termasuk bayi berusia lima bulan kepada bibik.
“Kita sebagai ibu-ibu ni walau sakit atau jauh, mesti asyik terfikir pasal anak. Jadi saya terdetik nak periksa kamera litar tertutup (CCTV) untuk pantau anak-anak.
“Sebaik tengok video, saya serta merta sebak dan terharu tengok bibik layan anak saya, terutamanya dua yang masih kecil tu,” ujarnya yang juga seorang pengasas produk penjagaan badan.
Menurut Yaya, pembantu rumahnya, Eka Habibi, 41, yang sudah lebih setahun berkhidmat bersamanya sememangnya seorang yang berjiwa keibuan dan penyayang.
“Dia juga mempunyai anak lebih kurang sebaya anak saya yang ketiga. Jadi saya faham dia sebenarnya mah melepaskan kerinduan pada anakya yang ditinggalkan di kampung halaman di Medan, Indonesia.
“Sepanjang berkhidmat, dia panda jaga anak saya dan faham dengan kerenah mereka. Malah kalau anak saya demam, dialah yang bantu rawat guna petuanya.
“Bukan senang tugasnya… tambah lagi dua anak saya masih kecil. Dia memang seorang yang penyabar. Terdetik di hati, Allah makbulkan doa saya dengan menghantarnya kepada keluarga kami” cerita wanita yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan ini.
Yaya menganggap pembantu rumahnya seperti ahli keluarga sendiri.
Sama sekali tidak menyangka videonya menjadi tular, menurut Yaya, dia sekadar memuat naik di laman sosial untuk diadikan kenangan buat diri sendiri dan anak-anak pada masa hadapan.
“Mendapat pengasuh yang baik juga adalah salah satu rezeki. Semuanya atas izin Allah.
“Memang tak dinafikan, kes-kes membabitkan penderaan bayi buatkan ibu bapa takut. Bagi mereka yang ada pembantu rumah, kita wajar tunjuk contoh dan jadi majikan yang baik. Kalau mereka buat jahat, itu di luar kawalan kita… bukan rezeki kitalah.
“Pendek kata, sebagai ibu dan bapa, kita banyakkan berdoa moga ditemukan dengan pengasuh yang baik dan selebihnya bertawakal kepada Allah,” ujarnya lagi.
sumber: mstar
Leave a Reply