TIADA bunyi tangisan teresak-esak, suasana sunyi sepi dan hanya bacaan doa kedengaran di tanah perkuburan.
Begitulah suasana yang sangat jarang dilihat bagi upacara pengebumian jenazah tanpa identiti, malah namanya pun tidak diketahui sesiapa.
Justeru, tiada ahli keluarga mahupun kenalan yang berada di tanah kubur ketika pengebumian.
“Kematian yang tiada tangisan. Alhamdulillah, kami telah menyempurnakan dua jenazah yang tidak diketahui identitinya dan tidak dituntut sejak lebih tiga bulan lalu.
“Satu jenazah lelaki dan satu jenazah perempuan yang bukanlah mempunyai talian persaudaraan antara satu sama lain. Pasti kedua-duanya ada kisah hidup yang tersendiri penuh tragis,” kata Muhammad Rafieudin Zainal Rasid di Facebook.
Dua van disediakan untuk membawa jenazah.
Bercerita lanjut, Pengerusi Eksekutif Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM) itu berkata, jenazah lelaki itu berusia 70 tahun dan meninggal dunia akibat radang paru-paru.
Manakala bagi jenazah wanita berusia 30 tahun, katanya, si mati menghidap radang paru-paru yang teruk dengan kegagalan pelbagai organ.
“Kami diamanahkan oleh pihak hospital di Serdang, Selangor untuk menyempurnakan jenazah dari tuntutan mayat sehingga pengebumian.
“Sayangnya, kematian mereka tiada diringi tangisan ahli keluarganya. Sudah tentu ahli keluarganya juga tidak tahu tentang kematiannya,” katanya.
Jenazah yang tidak diketahui identitinya perlu diuruskan seperti jenazah Islam. – Gambar hiasan
Lebih dikenali sebagai Ustaz Rafie, katanya, jenazah itu tidak dituntut dan disimpan di bahagian forensik hospital tersebut selama lebih tiga bulan.
Menurutnya, sejak SPJM ditubuhkan, dianggarkan lebih 300 jenazah yang tidak dituntut atau tidak diketahui identiti telah diuruskan oleh skuad berkenaan.
“Ada banyak anggota badan juga yang tidak dituntut dengan pelbagai asbab.
“Seperti kedua-dua jasad ini, walaupun tidak diketahui asal-usulnya, agamanya dan negara asalnya…… tetap perlu diuruskan secara kaedah pengurusan jenazah Islam.
“Ini juga kerana Islam adalah agama Persekutuan di Malaysia, maka setiap jenazah yang tidak diketahui identitinya akan disempurnakan secara Islam,” ujarnya.
Kedua-dua jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu, Gombak.
Jelas Ustaz Rafie, kedua-dua jenazah itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu, Gombak pada tengahari Sabtu.
Tambahnya, kos pengurusan dan pengebumian jenazah ditanggung sepenuhnya SPJM dengan ihsan para penyumbang.
Betapa susahnya mereka terpaksa berpisah dengan keluarga demi tuntutan sara hidup, kemudian hilang tanpa khabar
MUHAMMAD RAFIEUDIN
ZAINAL RASID
PENGERUSI EKSEKUTIF SKUAD
PENGURUSAN JENAZAH MALAYSIA (SPJM)
Ustaz Rafie mengakui sedih dan sebak mengenangkan nasib mereka iaitu si mati yang langsung tidak diketahui ahli keluarganya.
“Saya membayangkan betapa susahnya mereka dalam hayatnya terpaksa berpisah dengan keluarga demi tuntutan sara hidup, kemudian hilang tanpa khabar, katanya.
Mengimbas kembali inside beberapa tahun lalu, dia bersama pasukannya pernah menguruskan pesakit wanita yang tidak berwaris selama lebih tiga bulan terlantar di hospital.
Ustaz Rafie mengimbas kembali menguruskan jenazah tidak dituntut.
“Si mati ketika sakit sudah masuk senarai yang tiada waris dan perlu diuruskan jika berlaku kematian.
“Ketika kami nak menuntut jenazah, baru suami si mati datang. Mereka warga Rohingya yang menetap di Kelantan. Si suami tak tahu tentang keadaan isterinya yang sakit dan tak sedarkan diri,” katanya.
Bercerita lanjut, kata Ustaz Rafie, pasangan itu terputus hubungan ketika si isteri hendak menjemput saudara mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang.
“Si suami dapat tahu pun setelah pelbagai usaha dicuba untuk menjejak isterinya. Dia sangat sedih. Mereka ada tiga anak kecil yang ditinggalkan di rumah jiran di Kelantan.
“Jenazahnya diuruskan SPJM sehingga selesai pengebumian. Memang sedih, si suami akhirnya jumpa isteri yang sudah meninggal dunia dan jenazahnya dituntut kami untuk dikebumikan,” katanya.
sumber: mstar
Leave a Reply