HATI pastinya berbunga-bunga apabila bertemu dengan jejaka pilihan yang menepati ciri-ciri lelaki idaman.
Begitulah keterujaan dirasakan seorang wanita yang berasal dari Indonesia tetapi sudah lama menetap di Malaysia.
Mengenali seorang pemuda, wanita itu maklumkan dirinya tidak bertepuk sebelah tangan kerana rupa-rupanya pemuda berkenaan turut menaruh hati kepadanya.
“Di awal perkenalan, saya sangka cuma saya yang suka dia. Ternyata dia pun sama.
“Jadi, di saat dia meluahkan isi hati dia, saya okay kami couple,” katanya menerusi satu luahan di Facebook.
Setiap pasangan mengimpikan perkahwinan yang bahagia. -Gambar hiasan
Namun hanya selepas bergelar kekasih, baru dia menyedari jejaka yang menjadi idamannya itu tidak seperti yang disangkakan.
Dia mendapati lelaki itu memantau setiap pergerakannya sepanjang masa kerana bersikap cemburu.
“Dia seolah-olah melebihi batas. Maksud saya, dia terlalu obses akan diri saya. Tak boleh ada lelaki di sekitar saya.
“Selain itu, saya juga tak boleh keluar kalau tidak dengan dia. Malah, saya terpaksa block nombor telefon kawan-kawan lelaki,” ujarnya.
Pada awalnya dia cuba menganggap lelaki itu seorang yang sangat melindungi dirinya, tetapi kini menjadi sesuatu yang menakutkan.
“Dia baik jaga saya. Cuma lama-lama saya takut kerana dia cemburu tak bertempat. Kalau marah, dia menyeramkan.
“Walaupun dia tak pernah pukul, tapi saya rasa hubungan kami ni bagaikan hubungan toksik. Rasa sayang saya pada dia berubah jadi takut,” jelasnya.
Disebabkan sikap teman lelakinya, dia mula trauma dan mengambil langkah drastik untuk pulang ke kampung halaman bapanya di negara jiran.
“Dalam diam-diam, saya lari balik ke seberang dan merancang untuk berdiam diri di kampung halaman. Dia tak tahu saya tinggal di daerah mana,” katanya lagi.
Seorang lelaki obses dengan kekasihnya. -Gambar hiasan
Menurut wanita itu, walaupun dia kini sudah berada di kampung halaman namun masih dihantui teman lelakinya yang obses itu.
“Saya rasa dia takkan jumpa saya, tapi saya rasa beberapa hari ni macam ada orang ikut. Saya takut sampai tak keluar rumah,” katanya yang trauma.
Di ruangan komen, rata-rata warga maya menyuarakan simpati terhadapnya dan menjelaskan bahawa dia tidak perlu meneruskan hubungan itu demi keselamatan.
“Obses itu bukan cinta tapi lebih kepada mental. Jika awak dah rasa ada yang tidak kena, baik lari.
“Kalau kuat mengongkong tu lebih baik cari yang lain.
“Bahaya dan menakutkan. Reg flag, contoh lelaki psiko,” demikian antara komen warga maya.
sumber: mstar
Leave a Reply