“Majoriti tak solat Subuh” – Ustaz tegur pengunjung perbarisan Hari Kebangsaan, lalai sampai terlepas waktu Dhuha

SAMBUTAN kemerdekaan tahun 2024 merupakan tanda kesyukuran atas kebebasan tanah air yang dinikmati sejak 67 tahun lalu.

Antara atur cara menjadi perhatian orang ramai adalah perarakan Hari Kebangsaan yang dimeriahkan dengan perbarisan pelbagai kontinjen penuh warna-warni, jentera serta aset keselamatan negara.

Program gilang-gemilang ini kebiasaannya bermula seawal pukul 7 pagi, demikian itu mereka yang berminat untuk turut serta perlu tiba awal di venue bagi mengelakkan kesesakan trafik serta mendapatkan tempat menyaksikan perbarisan.

Namun dalam keterujaan ini, seorang lelaki yang digelar ustaz tampil membangkitkan rasa terkilan selain mendakwa rata-rata hadirin tidak menunaikan solat Subuh susulan perlu bergegas ke lokasi acara.

“Kesian, sanggup datang berhimpun pukul 4 pagi, mungkin kalau rumahnya jauh perlu bertolak pukul 2 atau 3 pagi. Waktu sebegini kita sepatutnya luangkan masa bertemu Tuhan melalui ibadah tahajud, pasti diangkat darjat setinggi-tingginya.

“Namun sebaliknya pula apabila masa berharga ini digunakan untuk perkara yang tidak bermanfaat. Malah perhimpunan ini membuatkan majoriti umat Islam tidak mengerjakan solat Subuh, Subhanallah.

“Apabila program yang ditunggu-tunggu ini menyebabkan seseorang itu meninggalkan hak Allah (solat Subuh), maka inilah yang disebutkan dalam al-Quran sebagai Thaghut (amalan menyesatkan manusia daripada ajaran Islam),” ujarnya.

Tambahnya lagi, sambutan Hari Kebangsaan boleh dikategorikan sebagai sesuatu yang melalaikan.

“Beribu alasan untuk membawa keluarga ke majlis ilmu, tapi boleh pula beri komitmen untuk bawa keluarga berlibur. Sanggup berpanasan untuk melihat perbarisan, alangkah baiknya jika waktu itu digunakan bagi melakukan solat Dhuha.

Tujuan saya cuma mahu menyeru masyarakat ke jalan takwa.

USTAZ

“Menerusi amalan Dhuha ini, akan diberikan kebaikan sewaktu kita menanti ‘perbarisan’ yang amat panjang di akhirat kelak, ketika menunggu giliran untuk dihisab. Mensyukuri nikmat kemerdekaan bukanlah dengan cara begini.

“Ini adalah budaya Barat, kita bukannya seperti mereka, kita seharusnya berlumba-lumba melakukan kebaikan dan meninggalkan segala larangan Allah SWT (fastabiqul khairat).

“Hakikatnya ini bukanlah perkara baharu, tetapi sudah berlaku sejak awal kemerdekaan lagi,” jelas ustaz berkenaan.

Menyedari perkongsiannya berkemungkinan mengundang kecaman warga maya, ustaz terbabit menerangkan rasional di sebalik tegurannya itu.

“Tujuan saya cuma mahu menyeru masyarakat ke jalan takwa. Saya tidak menyebut ‘semua’ orang dan saya juga tidak menyebut nama individu tertentu.

“Secara logiknya, perhimpunan berskala besar yang penuh sesak, hampir mustahil semuanya mampu bangun untuk mencari tempat wuduk dan ruang bagi menunaikan solat. Lebih-lebih lagi Subuh adalah waktu yang singkat.

“Bagi sesiapa yang pergi ke sambutan ini dan jujur sempat bersolat, tak perlu melenting. Semoga hantaran ini dapat membuatkan orang ramai bermuhasabah diri dan mencari kebaikan dalam menuju reda Allah SWT,” katanya menutup bicara.

Menjengah ke ruangan komen, warga maya dilihat kecewa kerana ustaz itu memilih untuk berprasangka buruk.

“Ustaz jangan membuat andaian hanya daripada mata kasar, saya pernah pergi ke sambutan Hari Kebangsaan tahun lepas, banyak disediakan kemudahan untuk pengunjung menunaikan solat.

“Saya boleh cakap apabila masuk saja waktu Subuh, majoritinya bangun mendirikan solat, hanya sebilangan kecil yang mungkin tidak menunaikan sembahyang, ini apa yang saya perhatikan sendiri.

“Macam mana ustaz nak minta maaf dekat mereka semua nanti? Sungguh tidak adil untuk ustaz membuat rumusan yang sebegini rupa,” demikian kata sebahagian pelayar.

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Catatan Terakhir

Sumber : mstar

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*