Lubang benam: Bomba dedah cerita sebenar selam air kumbahan, arus deras – “Memang dalam”

MENYELAM ke dalam saliran kumbahan bagi mencari mangsa insiden lubang benam di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur merupakan tugas dan tanggungjawab pasukan bomba yang mencabar.

Pegawai Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penelamat Malaysia (JBPM), Penguasa Kanan Bomba I, Alimaddia Bukri berkata, ia merupakan tanggungjawab mereka mengatasi sebarang ketakutan atau kebimbangan yang mungkin dihadapi mereka untuk mencari mangsa.

“Bila turun ke bawah lubang… memang menakutkan, tapi ini memang tugas anggota bomba. Kita kena lawan perasaan takut dan berserah kepada-Nya,” katanya dipetik sebagai berkata kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, pasukan penyelamat terpaksa menyelam jauh ke dalam air kumbahan dengan arus deras dan jarak penglihatan terhad ditambah pula ruang yang sempit, sekali gus menyukarkan pencarian mangsa.

Menurutnya, hujan lebat turut memburukkan lagi keadaan dan berisiko kepada keselamatan penyelamat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Di lubang itu ada saliran kumbahan dan saliran lain, memang dalam (lubang).

“Kami berbincang dan mendapatkan nasihat daripada pakar berkaitan, sebelum membuat sebarang keputusan dalam operasi ini,” ujarnya.

Beliau berkata, pasukan penyelamat akan melakukan apa sahaja, dengan segala usaha mereka untuk sesiapa sahaja yang berada dalam kesusahan atau bencana.

Malah, beliau memberi jaminan kepada keluarga mangsa, bahawa pasukan penyelamat melakukan segala yang mereka mampu untuk mencari wanita yang hilang itu.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang mendoakan penyelamat dalam operasi itu.

“Terima kasih kepada semua pihak yang menghargai hasil kerja kami,” katanya.

Dalam pada itu, Alimaddia turt berkongsi video berdurasi 57 saat memaparkan keadaan sebenar yang dihadapi Unit Skuba JBPM.

Mangsa yang dikenali sebagai Vijayalaksmi, 48, seorang pelancong dari India, terjatuh ke dalam lubang benam sedalam lapan meter di Jalan Masjid India selepas tanah mendap ketika dia berjalan di kawasan berkenaan pada pagi Jumaat. – Sinar Harian

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*