Tujuh bulan tak berpenghuni, ejen hartanah lelong terkejut jumpa 2 sejadah terbentang hadap kiblat – “Balik rumah saya termenung”

MEMANG beruntung bagi mereka yang dapat memiliki rumah pada harga lelong, bermakna nilai belian lebih rendah berbanding pasaran.

Bagi pembeli bertuah, perasaan teruja pasti membuak-buak tatkala pertama kali melangkah kaki ke dalam hartanah lelong itu.

Bagaimanapun, seorang ejen lelong laitu Muhammad Ishaq N Marazi tidak menyangka kunjungannya bersama klien ke sebuah rumah lelong meninggalkan kesan mendalam.

Proses masuk ke rumah lelong yang berkunci.

Sebaik melangkah masuk ke rumah berkenaan buat pertama kali, kelihatan dua sejadah terbentang dalam kedudukan imam dan maklum lelaki, di ruang tamu menghadap kiblat.

“Semalam saya pergi buka rumah lelong dengan klien. Mengikut kata jiran rumah ni sudah kosong sejak enam hingga tujuh bulan lalu.

“Kita pecahkan pintu tengok dalam rumah ada sejadah. Owner (pemilik lama) tinggal terbentang sejadah menghadap kiblat,” katanya menerusi satu perkongsian di Facebook.

Dua sejadah yang terbentang di ruang tamu.

Berkongsi cerita secara lanjut, ejen lelong berkenaan berkata situasi itu berlaku di sebuah kondominium di Setapak, Kuala Lumpur, pada Selasa lalu.

Mesra disapa Ishaq, katanya rumah tersebut sebelum ini dihuni sepasang suami isteri yang mempunyai anak kecil.

“Rumah yang ditinggalkan owner lama dalam keadaan baik. Kebiasaannya owner lama akan ambil semua barang. Kalau ada sejadah pun, biasanya terlipat rapi di satu tempat seperti di dalam almari.

“Klien saya yang merupakan pemilik baharu tu juga Muslim. Apabila dia masuk tengok ada sejadah tu, dia macam kasihan pada owner lama. Apa jadi dengan mereka?” katanya.

Keadaan dapur di rumah yang ditinggalkan lebih setengah setahun.

Terus mencetuskan tanda tanya, ejen berusia 35 tahun itu menielaskan bahawa rumah tersebut dilelong disebabkan pinjaman perumahan tidak dilunaskan.

“Sebab tak bayar kemungkinan owner ada masalah kewangan. Saya tak pernah berjumpa dengan owner lama kerana saya mewakili bank.

“Klien saya menang harga lelong untuk rumah ini sebanyak RM320,000, lebih rendah daripada harga pasaran iaitu kira-kira RM450,000,” ujar anak kelahiran Kelantan itu.

Antara barang yang ditinggalkan oleh bekas pemilik rumah.

Berpengalaman dalam bidang lelongan hartanah selama 10 tahun, Ishaq mengakui dia juga terkesan meskipun sejadah ditinggalkan di rumah yang ditinggalkan adalah perkara biasa.

“Mungkin ada sesuatu yang owner lama hendak sampaikan. Balik rumah. saya banyak termenung.

Mungkin juga owner nak beritahu terbentangnya kesempatan dari kesempitan dia, realiti kehidupan yang kita kena hadap

“Kemungkinan owner nak beritahu apa-apa pun yang berlaku dalam hidup kita, sesusah mana pun kita, seberapa down pun kita, sebesar mana pun ujian kita dalam hidup, agama jangan tinggal.

“Solat jangan tinggal. Sesungguhnya itulah kekuatan kita sebagai umat Islam. Semoga Tuhan permudah urusan owner, Amin,” katanya.

Di salah sebuah bilik yang dikosongkan.

Dalam pada itu, di ruangan komen menerusi hantaran di Facebook, rata-rata warga maya turut memberikan pelbagai reaksi dan pandangan masing-masing.

“Sedih juga, sampai sekarang saya guna sejadah yang owner lama tinggal. Harap dia dapat pahala.

“Memang owner lama total surrender (berserah), segalanya pinjaman semata-mata dan dikembalikan balik dengan rasa rendah diri pada dia.

“Semoga owner lama diberikan rezeki yang lagi hebat. Mungkin juga owner nak beritahu terbentangnya kesempatan daripada kesempitan dia, realiti kehidupan yang kita kena hadap,” demikian antara komen warga maya.

Sumber: mstar

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*