Tengku Puteri Afzan selamat bergelar isteri FD Idzham

TENGKU Puteri Raja, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selamat bergelar isteri kepada FD Idzham FD Iskandar, pada Khamis.

Pasangan mempelai diraja ini dinikahkan Mufti Pahang, Datuk Profesor Dr Asmadi Mohamed Naim yang diperkenankan oleh Sultan Pahang untuk menjadi wakil rasmi Baginda.

Usahawan muda dan pemain ragbi untuk kelab Saracens F.C yang berpangkalan di London itu menverahkan senaskah al-Quran sebagai mas kahwin.

Pasangan mempelai diraja itu segak mengenakan busana baju Melayu dan baju kurung berona putih.

Al-Sultan Abdullah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar perkenan menyaksikan Istiadat Akad Nikah yang berlangsung gilang gemilang di Istana Abdulaziz di Kuantan, Pahang.

Usai akad nikah, FD Izham dibawa menunaikan solat sunat di kamar khas disusuli dengan perarakan masuk Tengku Afzan ke mahligai pelamin.

Kemudian, pengantin lelaki berarak masuk semula ke mahligai pelamin bagi menyempurnakan Istiadat Menyarung Cincin.

Doa kemudiannya dibaca Mufti Pahang sambil menyaksikan Tengku Afzan sebak mengalirkan air mata dikuti dengan bondanya, Tengku Ampuan Pahang yang kelihatan tidak mampu menahan rasa sedih melepaskan anakanda perempuan Baginda.

Terdahulu, rakyat jelata seluruh Pahang berpeluang menyaksikan siaran langsung adat istiadat tersebut di Dataran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan di Tasik KotaSAS.

Untuk makluman, Istiadat Perkahwinan Diraja ini akan berlangsung selama tiga hari sehingga 25 Ogos, dengan dimulai istiadat adat nikah.

Pasangan pengantin Diraja akan menjalani istiadat berinai pada 23 Ogos seterusnya istiadat bersanding pula dijadualkan berlangsung pada hari Ahad.

Untuk rekod, FD Idzham merupakan anak sulung kepada Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Glomac

Berhad, Datuk Seri FD Iskandar Mohamed Mansor dan isteri, Datin Seri Hafizah Zakaria.

sumber: mstar

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*