Wartawan Huzz pencetus nama Datuk K meningg4l dunia, sempat tinggalkan pesanan terakhir

WARTAWAN hiburan veteran popular, Kamal Huzaini Kamaludin meninggal dunia di rumah abangnya di Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang akibat kanser usus.

Beliau yang popular dengan panggilan Huzz, 59, dilaporkan meninggal dunia kira-kira pukul 6.10 petang pada Sabtu.

Menurut anak saudaranya Nur Hana Ameera Ramly, Allahyarham pada mulanya dilaporkan hilang selera makan sehinggalah keadaannya menjadi lemah sebelum berada dalam keadaan kritkal.

“Saya dimaklumkan, dia mengalami muntah-muntah sehingga selera makan dia hilang dan selepas itu badannya terus menjadi lemah dan kritikal. Pihak doktor telah memanggil ahli keluarga selepas kejadian itu untuk bersedia sebarang kemungkinan.

“Beberapa hari lalu semasa tiba di rumah abangnya, keadaan dia ceria dan berselera makan,” katanya.

Bagaimanapun pada petang Sabtu, keadaan kesihatan Huzz semakin merosot dan bertambah kritikal.

Huzz ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Huzz dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bulan Mac lalu untuk menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada ususnya namun tidak lama kemudian didiagnos menghidap kanser usus pada tahap empat.

Selepas beberapa bulan di HKL, arwah dibenarkan untuk keluar hospital dan dibawa ke rumah abangnya di Bertam, Pulau Pinang pada 31 Mei lalu untuk berehat dan mendapatkan rawatan susulan.

Namun keadaanya menjadi kritikal selepas hampir seminggu berada di Pulau Pinang.

Sebelum kematiannya, Huzz mengatakan dia sudah tidak mampu lagi melawan penyakitnya itu selepas beberapa siri rawatan dilakukan oleh pihak hospital selain berserah segalanya kepada ketentuan Allah.

Beliau juga sempat berpesan agar semua pihak yang mengenalinya termasuklah sahabat handai agar mendoakan supaya mudah untuknya menempuh alam selepas kematian.

“Insya-Allah, sekiranya ada sesiapa yang pernah buat salah pada saya, semuanya sudah saya maafkan dan begitu juga saya ingin meminta maaf kepada semua.

“Doakanlah untuk saya kerana saya hendak masuk syurga,” pesan Huzz dalam keadaan sebak sewaktu wartawan mStar menziarahinya di HKL.

Dalam pertemuan itu Huzz berkata, sepanjang berada di hospital dia kerap bermimpi ahli keluarga dan rakan-rakan yang sudah tiada dan perkara itu menjadikan dia kuat untuk reda dengan takdir Allah terhadapnya itu.

Alhamdulillah, hati saya tenang selepas memikirkan ujian Allah terhadap saya.

HUZZ

BEKAS WARTAWAN HIBURAN

“Saya bermimpi arwah ayah, kawan-kawan dan artis yang telah pergi (meninggal dunia) dan semua itu seolah-olah menjadi isyarat akan giliran saya pula akan tiba.

“Alhamdulillah, hati saya tenang selepas memikirkan ujian Allah terhadap saya ini dan peluang sakit ini saya banyak mendekatkan diri kepada-Nya selain reda dengan apa yang berlaku,” katanya.

Huzz memulakan kerjaya kewartawanannya pada tahun 1980-an bersama akhbar Harian Nasional.

Dia kemudian menyertai syarikat media Kumpulan Karangkraf dan ditempatkan di majalah Media Hiburan.

Ketua Pengarang Berita, Niezam Abdullah (empat dari kiri) bersama rakan artis iaitu Abot (dua dari kiri) dan suaminya serta teman wartawan ketika melawat beliau di HKL.

Pada awal 1990an, Huzz menyertai Utusan Melayu (M) Berhad sebagai wartawan majalah URTV selain penulis pojok hiburan Sensasi Huzz, sisipan Pancaindera akhbar Mingguan Malaysia.

Bersama syarkat akhbar itu, Huzz dinaikkan pangkat sebagai Penolong Pengarang Majalah Mangga bergandingan dengan Juwie.

Jawatan terakhirnya di Utusan Melayu sebagai Pengarang URTV sebelum bersara sepenuhnya selepas syarikat itu menutup operasi pada 2019.

Dalam bidang seni, Huzz banyak menerima peluang menulis lirik artis tempatan dan antara yang popular ialah lagu nyanyian Ramlah Ram berjudul Keangkuhan Mu dalam album yang diedarkan pada 1995.

Setiausaha politik Perdana Menteri iaitu Ahmad Farhan Fauzi hadir memberi sumbangan bagi mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Antara pengalaman menarik Huzz apabila dia berjaya menghidu kisah cinta Siti Nurhaliza dan mendedahkan penyanyi itu sedang berkawan dengan seorang usahawan dikenali Datuk K.

Kerana tulisan itu nama Datuk K yang merujuk kepada Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa menjadi sinonim dan panggilan sehingga kini.

Selain Huzz, beberapa ahli keluarganya turut terlibat dalam industri media termasuklah bapanya iaitu AR Kamaludin yang juga wartawan dan editor terkenal tahun 1990-an.

Empat adiknya juga bergelar wartawan termasuklah Nu-rul Afida Kamaludin yang merupakan wanita pertama bergelar Ketua Pengarang Bernama dan kemudian dilantik Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) agensi berita itu.

Antara rakan artis dan kenamaan yang melawat Huzz semasa di hospital ialah isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Hamidah Khamis, Setiausaha Politik Perdana Menteri yang mewakili beliau, Ahmad Farhan Fauzi, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, Datuk Rosyam Nor, Ziana Zain, Haiza, Ramlah Ram, Ameng Spring, Ogy Ahmad Daud, Azura Aziz, Misha Omar, Datin Sofea Jane, Vanidah Imran, Rabbani, Abot, Erra Fazira serta teman wartawan dan penggiat seni lain.

Jenazah Allahyarham dijadual dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, di Bertam.

Kita doakan semoga Allah mudahkan segala urusan beliau di alam barzakh dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah.

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Catatan Terakhir

Sumber : mstar

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*