SEORANG warga emas berusia yang selamat menimang cahaya mata pada usia 80 tahun mendapat perhatian netizen sejak kisahnya itu tular di media sosial pada Selasa.
Ketika dihubungi, isterinya yang hanya mahu dikenali sebagai Zaleha berkata dia sama sekali tidak menyangka perkongsian video memaparkan suaminya, Yob melafazkan iqamah selepas kelahiran bayi mereka akan mengundang perhatian ramai.
Menurut wanita berusia 48 tahun ini, video tersebut dikongsikan bagi menzahirkan rasa syukur kerana dia akhirnya dikurniakan zuriat selepas bernikah dengan Yob yang mana mereka sebelum ini kerap mencuba tetapi gagal.
“Masa mula-mula berkahwin memang kami berdua teringin nak ada zuriat bersama. Tapi bila memikirkan usia suami, saya cakap dalam hati… tak mungkin la boleh ada anak lagi kan.
“Siapa sangka, saya mengandung pada tahun kelima perkahwinan tapi saya alami keguguran, jadi kami pun sudah tidak berharap nak ada anak. Lagipun saya fikir juga faktor umur masing-masing dah lanjut.
Mak Ha dan Pak Yob sudah berumah tangga selama 10 tahun.
“Tapi dengan kuasa Allah, semua boleh berlaku. Saya mengandung lagi sekali tahun 2023 pada usia sembilan tahun perkahwinan kami,” ujarnya .
Senang disapa sebagai Mak Ha, bayi comel yang dilahirkan pada 31 Mei lalu itu diberi nama Nur, seringkas nama bapanya.
Bercerita mengenai dirinya, Mak Ha berkata dia mempunyai tiga anak bersama bekas suaminya sebelum mereka berpisah.
Manakala, suaminya yang lebih dikenali sebagai Pak Yob pula mempunyai empat cahaya mata hasil perkahwinannya sebelum ini.
Mak Ha yang berasal dari Seberang Perai, Pulau Pinang berkali-kali menegaskan bahawa dia juga sukar percaya apabila diberi peluang untuk memiliki anak selepas menikahi Pak Yob.
“Mula-mula tak datang bulan tu saya ingatkan sudah menopaus. Tapi lepas rujuk pada klinik, terkejut bila dapat tahu saya hamil. Mujur doktor cakap tak ada masalah untuk saya hamil.
“Dalam masa lima bulan pertama tu saya macam tak percaya sedang hamil buat kali kelima. Apabila memikirkan umur suami sudah 80 tahun baru ‘sangkut’, lagi tak sangka.
“Masa beritahu suami saya mengandung pun dia terkejut. Tapi Pak Yob beritahu dia reda dengan ketentuan Allah ni. Dia anggap anak ni ‘kenangan’ amat bernilai untuk perkahwinan kami,” ujarnya lagi yang menjalankan perniagaan sendiri.
Bercerita mengenai pertemuannya dengan Pak Yob, Mak Ha berkata mereka sudah lama saling mengenali.
Mak Ha mempunyai tiga anak sebelum berkahwin dengan Pak Yob.
“Sebelum berkahwin lagi, saya sudah bersedia terima dia seadanya. Suami dah beritahu yang dia tak mampu sara saya dengan keadaan umur dia.
“Tapi disebabkan saya sudah kenal hati budi Pak Yob sebelum berkahwin, jadi tak ada masalah untuk kami teruskan.
“Pak Yob memang baik dengan atuk saya masa dia zaman remaja lagi. Jadi keluarga saya pun terima keputusan kami nak berkahwin,” katanya lagi.
Dalam pada itu, hantaran dikongsikan Mak Ha itu juga menimbulkan pelbagai persepsi dan persoalan dalam masyarakat memandangkan usia suami akan terus meningkat.
Namun, Mak Ha menjelaskan Pak Yob tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan dan tahap kemampuan fizikalnya masih dalam keadaan baik.
Jangan pernah bersangka buruk dengan ketentuan Allah.
ZALEHA
“Saya yakin dengan kelahiran anak ini tak ada masalah untuk kami uruskan bersama. Sebelum ni pun, dia banyak bantu saya menguruskan bab persekolahan anak-anak.
“Masa saya buka perniagaan kedai runcit, Pak Yob masih kuat hantar anak-anak pergi sekolah. Bab tanggungjawab menguruskan anak memang dia betul-betul serius.
“Cuma sejak dua tahun kebelakangan ni, dia sudah tak yakin untuk pandu kereta sebab usianya dah tua. Tapi dia masih boleh tolong uruskan bayi ni bersama-sama saya.
“Waktu malam suami uruskan anak, saya pula memang uruskan bayi waktu siang tapi dengan bantuan orang lain. Saya bayar upah penjaga dengan ambil pakej berpantang muslim,” katanya lagi.
Mak Ha bersyukur dikurniakan suami yang bertanggungjawab.
Sementara itu, ramai juga pengguna media sosial wanita yang masih menunggu zuriat memohon Mak Ha mendoakan semoga mereka turut diberikan keajaiban seperti Mak Ha.
“Saya ada baca banyak yang komen tengah TTC (trying to conceive) nak dapatkan anak. Apa yang saya boleh cakap… kita sebagai hamba, kena bagi harapan sepenuh hati kepada Allah.
“Jangan pernah bersangka buruk dengan ketentuan-Nya. Saya doakan semua yang teringinkan zuriat, dapat bersabar sehingga tiba masanya nanti,” katanya menitipkan doa dan pesan.
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Catatan Terakhir
Sumber : Mstar
Leave a Reply