Lelaki berjubah hidup senang dengan mengemis, kantoi pandu Proton X70 Flagship… 5 jam tadah tangan dapat RM500!

PASTI ramai tidak pernah menjangka aktiviti mengemis juga boleh menjadi satu cabang ‘kerjaya’ yang mampu membawa pulangan lumayan.

Ia terbukti apabila seorang lelaki dari Balok di Kuantan, Pahang mampu meraih sehingga RM500 dalam tempoh lima jam dengan hanya meminta sedekah di sebuah pasar malam.

Perkara itu didedahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Maran menerusi hantaran Facebook pada Khamis pagi.

Lelaki itu mampu meraih sehingga RM500 dalam tempoh empat ke lima jam meminta sedekah.

Menerusi operasi membanteras pengemisan di pasar malam Sri Jaya, lelaki itu mengaku kepada pihak JKM Maran bahawa dia memiliki sebuah kereta yang dibeli dengan hasil meminta sedekah.

“Dia (pengemis) mengatakan kad pengenalannya berada di dalam kereta. Penguatkuasa JKM mengekori lelaki itu ke keretanya. Percaya atau tidak, seorang yang tadinya hanya berdiri meraih simpati orang ramai atas kekurangan dirinya memandu sebuah Proton X70 Flagship.

“Siasatan lanjut Penguatkuasa JKM mendapati dia akan ke pasar-pasar malam untuk menjalankan aktiviti pengemisan. Semakan mendapati dia menerima Elaun Pekerja OKU daripada pihak JKM sebanyak RM450 sebulan sejak tahun 2001 lagi.

Dia bukan pekak dan bisu, cuma seorang OKU fizikal… kedua-dua belah tangannya tidak normal.

JKM MARAN

“Dia juga mengaku kereta Proton X70 Flagship itu adalah miliknya. Menurutnya, hasil pengemisan boleh mencecah sehingga RM500 bagi tempoh empat ke lima jam berada di pasar-pasar malam,” ujar JKM Maran lagi.

Ketika operasi berkenaan, pengemis itu pada awalnya dikatakan sukar untuk memberi kerjasama ketika dia didekati pegawai penguatkuasa JKM, namun akhirnya akur selepas beberapa kali didesak.

“Dari jauh kelihatan dia berjubah dan berkopiah, berdiri di celahan payung peniaga pasar malam sambil memegang beg kertas meminta simpati orang ramai yang lalu lalang. Kedua-dua tangannya kelihatan kecil tidak seperti tangan manusia normal.

“Pegawai penguatkuasa JKM Maran menghampirinya dan bertanyakan tujuan dia meminta sedekah. Namun, pertanyaan tidak dijawab. Dia kelihatan seperti seorang yang pekak dan bisu. Dilihat di dalam beg kertasnya ada kepingan duit kertas. Sedekah pengunjung pasar malam.

“Berkali-kali Penguatkuasa JKM meminta kad pengenalan bagi tujuan rekod operasi tetapi tidak mendapat respons. Setelah didesak barulah bersuara. Normal rupanya. Dia bukan pekak dan bisu. Cuma seorang OKU fizikal, kedua-dua belah tangannya tidak normal,” ujar JKM Maran lagi.

Netizen ‘kagum’ aktiviti mengemis mampu bawa pulangan lumayan. -Gambar hiasan

Selepas selesai soal siasat, lelaki tersebut dilepaskan dengan amaran oleh Penguatkuasa JKM.

JKM Maran turut berkongsi beberapa foto memaparkan kereta Proton X70 milik pengemis itu sehingga kisahnya tular di Facebook.

Rata-rata netizen turut meluahkan rasa kagum apabila lelaki itu mampu membeli kereta baharu dengan hanya meminta sedekah.

“Yang ada kerja tetap pun belum tentu mampu beli X70.

“Kaya dia daripada kita. Tahniah JKM. Teruskan usaha membanteras pengemis yang malas usaha ni.

“Padu, dalam empat ke lima jam dapat RM500,” tulis netizen.

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Catatan Terakhir

Sumber : Mstar

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*