Wujud lelaki lain macam Hafiz Mahamad… Penjual ikan patin buat kejutan versi B40 untuk isteri, tak mewah tapi bermakna

PERKONGSIAN kejutan serba mewah usahawan dan personaliti media sosial, Hafiz Mahamad untuk isterinya baru-baru ini nampaknya tidak begitu disenangi beberapa pihak.

“Dia berduit bolehlah buat,” demikian antara komen ‘pedas’ netizen terhadap Hafiz.

Tidak dinafikan ramai yang mahu mempunyai suami seperti Hafiz yang ‘sweet’ dan penuh kejutan, namun pada masa sama mereka menyedari bukan semua lelaki mampu hidup mewah.

Bagaimanapun tahukah anda bahawa konsep kejutan Hafiz untuk isterinya itu pernah dilakukan seorang suami yang tidak dikenali dua tahun lalu.

Menggelarkan ia sebagai kejutan versi B40, suami berkenaan, Abdul Rahman Marlis berkata, ia dibuat kira-kira dua tahun lalu sempena hari jadi isterinya.

“Ketika penghujung musim PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), saya mahu buat kejutan dan menampilkan kelainan buat isteri.

“Saya kumpul video-video ucapan daripada adik-beradik isteri dan mentua saya sebelum edit dan persembahkannya dalam satu kejutan di rumah,” katanya kepada mStar.

Di ruang tamu rumah, Rahman (dua, kanan) meraikan hari jadi isteri bersama anak-anak.

Berusia 35 tahun, Abdul Rahman berkata dia sebenarnya boleh saja membuat kejutan untuk isterinya dengan melakukannya di restoran.

“Tapi saya nak persembahkan video khas untuk isteri. Kalau buat di restoran, nak sewa projector dengan bilik atau dewan khas tentunya membabitkan kos yang tinggi.

Yang penting usaha, niat kita nak membahagiakan isteri.

ABDUL RAHMAN MARLIS

“Nak bermewah, saya tak mampu, apatah lagi nak buat dalam panggung wayang. Cukuplah dibuat di rumah bersama isteri dan anak-anak.

“Saya minta mereka bersiap pakai baju cantik-cantik di bilik sementara saya buat persiapan. Isteri sudah diberitahu ada kejutan, tapi dia tak tahu apakah kejutan tu,” ujarnya yang merupakan bapa kepada dua cahaya mata.

Isteri dirai dengan kejutan sempena hari istimewa.

Bermodalkan kira-kira RM70, kejutan hari jadi itu berjaya membuatkan isterinya, Siti Masidayu Ismail yang merupakan suri rumah, menitiskan air mata dan tersenyum kegembiraan.

“Kos tersebut terdiri daripada kad ucapan, gambar nikah kami, sepotong kek dan bungkusan nasi goreng yang dibeli untuk jamuan kami sekeluarga. Dekorasi dan air minuman saya buat sendiri di rumah,” katanya yang mendirikan rumah tangga pada 2016.

Rahman bersyukur dikurniakan isteri yang memahami dan tahu menghargai.

Menjual ikan patin di Temerloh, Pahang, Rahman berkata, untuk membahagiakan pasangan sebenarnya tidak memerlukan kemewahan.

“Yang penting adalah usaha. Kita tak perlu tunggu ada duit banyak, atau jadi kaya. Kita sebagai suami atau isteri boleh membuat kejutan mengikut idea dan kemampuan sendiri.

“Alhamdulillah, saya dikurniakan isteri yang baik dan jenis tak kisah atau meminta-minta. Kalau bagi dia benda tak mahal pun dia sangat hargai,” katanya yang turut membuat kejutan-kejutan lain buat isteri pada hari istimewa seperti hari ulang tahun perkahwinan.

Tanpa kemewahan, keluarga ini hidup bahagia.

Dalam pada itu, Rahman turut berasa terharu apabila perkongsian video mengenai kejutannya buat isteri mendapat perhatian dan pujian daripada Hafiz Mahamad sendiri.

“Apa yang Hafiz nak tunjuk bukanlah kemewahan tetapi usaha seorang lelaki atau suami kepada kaum wanita, isteri. Yang penting usaha, niat kita nak membahagiakan isteri.

“Selebihnya bergantung pada kita sendiri. Kalau ada rezeki lebih, kita beri lebih. InsyaAllah rezeki itu akan dipulangkan balik dengan lebih baik.

“Dan bila kita tunjuk sesuatu yang baik depan anak-anak, ia secara tidak langsung menjadi contoh kepada mereka. Macam anak lelaki saya, dia pun sekarang dah pandai buat kejutan untuk saya dan isteri, seperti yang berlaku baru-baru ini, sempena Hari Ibu dan Hari Bapa,” katanya.

VIDEO;

 

View this post on Instagram

 

A post shared by mStar (@mstaronlineofficial)

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Catatan Terakhir

Sumber :Mstar

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*