BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul bebanan.
Begitulah kisahnya mengenai Norijan Murad, 39, yang berniaga nasi lemak berharga RM1 di hadapan sebuah bank di Simpang Ampat, Pulau Pinang, sejak tiga bulan lalu.
Menurut Norijan, dia dan anaknya berniaga di dua lokasi berbeza demi mencari pendapatan sampingan untuk membantu suami, Mohamad Faizal Abdul Wahab, 39, yang hanya bekerja di sebuah kilang.
Nasi lemak merupakan makanan kegemaran rakyat Malaysia. (Gambar Hiasan)
“Dulu saya berniaga nasi berlauk selama lima tahun. Selepas berpindah rumah, saya dah tak jual nasi berlauk kerana kekangan lokasi serta peningkatan kos sara hidup. Sewa rumah makin mahal, jual nasi berlauk pun tak balik modal.
“Sekarang saya mula berniaga nasi lemak sejak tiga bulan lalu. Anak sulung berniaga di hadapan sebuah bank berdekatan rumah, manakala saya bersama dua lagi anak berniaga di hadapan sebuah bank berlainan.
“Suami kerja kilang saja. Lepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kewangan kami agak teruk sikit. Kami asal Taiping, tapi dah 13 tahun duduk di Pulau Pinang sebab suami kerja di sini,” ujarnya memulakan cerita.
Menurut Norijan, dia terharu dengan sambutan menggalakkan daripada pelanggan sejak tiga bulan lalu, namun sedikit terkesan kerana jualan tidak begitu laris pada bulan Ramadan.
Bagaimanapun, nasib Norijan berubah serta-merta selepas foto dia menunggu pelanggan bersama dua anaknya di kaki lima bank ditularkan oleh seorang pelanggan menerusi Facebook, pada 26 Mac baru-baru ini.
“Sejak bulan puasa nasi lemak kami tak berapa laku. Biasanya saya jual 100 bungkus, tapi bulan puasa jual 50 bungkus je. Kebetulan pada Ahad, seorang pelanggan tu datang, masa dia datang memang banyak nasi lemak saya tak habis.
“Saya tak sangka pula dia akan kongsi gambar tu di Facebook. Saya agak terkejut selepas gambar kami viral. Selepas viral, saya terima panggilan dari serata negeri termasuklah Sarawak, Terengganu dan Kuala Lumpur.
“Lebih 20 orang dah hubungi saya, mereka transfer duit modal nak minta saya infak nasi lemak. Ada yang bayar untuk saya infak sehingga 500 bungkus. Saya tak sangka hadirnya rezeki dalam cara ini,” ujarnya lagi.
Menurut Norijan, dia terharu dengan sambutan luar biasa dan menganggapnya sebagai rezeki terindah dalam bulan Ramadan kali ini.
Kesabaran mereka bertiga menunggu pelanggan meruntun hati netizen.
Malah, Norijan juga berjanji untuk tidak menaikkan harga nasi lemak itu pada masa akan datang kerana mahu pelanggan menikm4ti juadah enak dengan kadar yang berpatutan.
“Dulu masa awal berniaga, saya juga pernah cakap pada diri sendiri. Tak ada ke orang nak viralkan kisah saya? Tak sangka, akhirnya ia betul-betul terjadi.
“Ramai pelanggan baharu yang datang dan maklumkan mereka kenal saya melalui Facebook. Saya bersyukur sangat. Saya akan teruskan perniagaan ini selepas bulan Ramadan dan harganya kekal RM1 je,” ujarnya yang memulakan operasi perniagaan pada pukul 8.30 malam sehingga 11 malam.
Komen netizen:
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Catatan Terakhir
Sumber : mstar.com.my
Leave a Reply