BERBEKALKAN pengalaman lebih 40 tahun dalam bidang jahitan, Zulir Mohamad sering menjadi bvruan ramai apabila tibanya musim perayaan.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, Zulir, 67, tidak menang tangan menerima tempahan jahitan baju lelaki untuk digayakan ketika Aidilfitri.
Menurut anak bongsunya, Nurul Farhana, 34, Zulir menerima lebih banyak tempahan pada tahun ini selepas video yang dikongsi tular di aplikasi TikTok, sejak Februari lalu.
“Sebenarnya tiada niat apa-apa. Sesekali saya suka rakam video mak dan ayah. Suka tengok gelagat mereka, bercerita tentang mereka. Tak sangka pula viral di TikTok.
“Kalau ikutkan, kami tak buka tempahan baju lelaki dah. Tapi saya tanya ayah, dia kata boleh je kalau sikit. Pada hari pertama viral pun ada enam orang datang nak tempah baju. Yang datang bukan tempah sehelai baju, tapi nak jahit untuk sekeluarga.
“Jadi dengan tempahan sedia ada, ditambah pula tempahan daripada TikTok, saya kena hadkan sebab tak mahu ayah penat. Kudrat ayah sekarang dah tak sama macam dulu,” ujarnya kepada mStar.
Imbas Farhana, dulu bapanya sering bersengkang mata bagi menyiapkan tempahan baju raya, namun mereka sekeluarga tidak mahu dia terlalu bekerja keras pada usianya ketika ini.
“Dulu masa bulan puasa, selepas habis tarawih ayah akan datang ke kedai, menjahit sehingga pukul 4 pagi. Sekarang umur dia dah dekat 70 tahun, saya tak bagi dia terima banyak tempahan.
“Biar sikit, asalkan pelanggan berpuas hati. Janji dia boleh fokus pergi tarawih dan tak penat. Dulu memang ayah pulun menjahit. Ayah memang kuat bekerja, dia tak boleh duduk diam di rumah, nanti demam.
“Sebab itu dia masih menjahit, tapi buat ikut kemampuan. Kalau misalnya ayah tak sihat, dia masih ada ruang, jadi baju pelanggan tidak tertangguh,” ujar anak bongsu daripada enam beradik itu.
Selain menjahit di kedainya yang terletak di Taman Melawati, bapa Farhana juga masih bekerja di sebuah kilang pakaian yang mana dia bertanggungjawab menghasilkan seragam untuk tentera.
Kata Farhana, dia tidak mahu ayahnya penat gara-gara menerima terlalu banyak tempahan.
Tambah Farhana, bukan bapanya sahaja, malah hampir seluruh ahli keluarganya turut terlibat dalam bidang jahitan, merangkumi pakaian lelaki, wanita dan kanak-kanak.
“Saya jahit baju kanak-kanak. Ayah buat baju lelaki, kakak pula baju wanita. Mak pun jahit macam-macam baju tapi dia dah pencen. Kami empat beradik boleh menjahit.
“Ayah dan kakak usahakan sebuah kedai di Taman Melawati. Pada masa sama, ayah turut bekerja di kilang pakaian untuk baju-baju askar di Setiawangsa. Selepas habis kerjanya di kilang, baru ayah datang kedai.
Farhana akan membantu kakak dan ayahnya di kedai ini apabila tibanya musim perayaan.
“Di kilang itu, ayah memang specialist untuk potong baju secara manual. Dah 20 tahun dia kerja di kilang itu sebagai tukang potong. Patutnya dah pencen, tapi ayah masih kerja,” ujarnya lagi.
View this post on Instagram
Menjelang Hari Raya Aidilfitri, Farhana yang sudah berkeluarga dan menetap di Perak turut hadir ke ibu negara bagi membantu bapa serta kakaknya menyiapkan tempahan pelanggan.
Bakat Zulir dan isterinya dalam bidang jahitan turut diwarisi anak-anak mereka.
“Saya duduk di Perak. Ambil tempahan baju kanak-kanak. Tapi bila nak dekat raya, saya datang sini tolong mereka. Tahun ni, Alhamdulillah, ramai yang tempah. Untuk pakaian wanita, tempahan kami masih buka.
“Suasana tahun ini dengan tahun lepas sangat menggalakkan. Kami bersyukur sangat. Sebab dulu masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami tiada pendapatan sebab tak boleh menjahit, orang tak beraya,” ujarnya mengakhiri bicara.
Komen netizen:
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Catatan Terakhir
Sumber : mstar.com.my
Leave a Reply