BUKAN setakat membesar bersama-sama dan melanjutkan pelajaran di universiti yang sama, malah pasangan kembar ini turut bernikah pada hari yang sama!
Lebih manis, pasangan kembar seiras Amalina Rahman dan Amalia Rahman kini masing-masing bergelar doktor dan membuka klinik bersama, Klinik Dr Twins yang terletak di Bandar Baru Bangi.
Berkongsi cerita dengan mStar, Amalina berkata, dia dan kakak kembarnya mempunyai banyak persamaan termasuk hobi, iaitu masing-masing meminati fotografi serta melancong.
“Kami anak kelima dan keenam daripada daripada tujuh adik beradik, dan kami berdua saja perempuan dalam adik beradik… justeru hubungan itu sangat rapat dari kecil sampai sekarang.
“Ibu cerita, waktu ke Makkah menunaikan haji, dia berdoa Allah anugerahkan anak perempuan. Alhamdulillah Allah makbulkan, bukan seorang tetapi dua orang.
“Disebabkan kami saja anak perempuan, dari kecil lagi ibu suka gayakan kami dengan pakaian sedondon. Jadi kami dah terbiasa ‘matching’ sampai sekarang.
“Dari segi pendidikan, masa sekolah rendah kami berbeza kelas, hanya ketika darjah lima dapat kelas sama. Waktu sekolah menengah kami sekelas tapi ketika tingkatan empat kami terpisah… kakak kembar bersekolah di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) manakala saya di sekolah harian biasa,” ujar wanita berusia 30 tahun ini.
Menurut Amalina, mereka kemudian berjaya melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di universiti yang sama di Mesir.
“Banyak perkara dan aktiviti kami terlibat bersama ketika belajar dahulu.
“Bab pasangan hidup, sebenarnya kami pernah terdetik untuk cari pasangan kembar juga. Tapi tidak semudah itu… pencarian itu tak berjaya,” ujar Amalina sambil berseloroh.
Sama-sama meminati bidang perubatan dan berjaya melanjutkan pelajaran ke Mesir.
Bagaimanapun tambah wanita ini, dia dan kakak kembarnya ditakdirkan bertemu dengan pasangan masing-masing dalam tempoh waktu selang sebulan.
“Kami kenal bakal suami selang sebulan. Kemudian kami mengikat tali pertunangan pun selang seminggu. Saya bertunang dulu, minggu depan kakak pula.
“Namun kami bernikah pada hari yang sama iaitu 3 April 2021. Tapi bab anak, memang tak rancang pun nak dapat anak sama. Anak sulung kami lahir selang empat bulan… saya dapat anak lelaki, kakak kembar dapat anak perempuan,” ujar ibu kepada seorang cahaya mata ini lagi.
Sama seperti pasangan kembar seiras yang lain, Amalina dan Amalia juga tidak terlepas berdepan dengan insiden lucu apabila ‘orang luar’ tidak dapat membezakan antara kedua-dua mereka.
“Pernah ketika kami sama-sama buat housemanship di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), bos terkeliru sebab kami berdua jabatan lain-lain.
“Saya jabatan ‘surgical’, Amalia jabatan ‘medical’. Empat bulan seterusnya, kami bertukar jabatan… giliran saya pula ke ‘medical’, Amalia di ‘surgical’ tapi bos hairan kenapa kami lama sangat…. rupanya dia terkeliru sebab ingat kami individu yang sama.
View this post on Instagram
“Pernah juga pesakit dekat klinik kami terkeliru. Mula-mula doktor ada dalam bilik, tiba-tiba nampak doktor masuk klinik… tercengang kejap mereka. Kemudian baru tahu doktor rupanya kembar.
“Yang rapat dengan kami senang nak cam. Amalia ada tahi lalat dekat hidung, saya pula dekat dagu. Kalau nak tahu suami kami pun awal-awal confuse juga,” ujarnya ketawa kecil.
Lebih tiga bulan membuka klinik bersama, Amalina berkata dia dan kembarnya mempunyai impian untuk membuka klinik cawangan serta pusat berpantang (confinement centre) pada masa hadapan.
“Buka klinik bersama adalah impian kami ketika sama-sama belajar perubatan dahulu. Mudah-mudahan impian kami yang seterusnya dapat direalisasikan,” ujarnya.
Sekadar membuat perkongsian di laman TikTok, pasangan kembar ini sama sekali tidak menyangka video mereka mengundang perhatian ramai sehingga meraih lebih 1.8 juta jumlah tontonan.
Sering bergaya sedondon sejak kecil.
“Pada mulanya sekadar suka-suka sahaja, lagipun secara tidak langsung ia seperti buat ‘personal branding’ untuk klinik kami. Tak sangka langsung viral sebab ia video pertama.
“Ada pesakit datang klinik dan beritahu, dia kenal klinik ini daripada TikTok.
“Seronok baca komen netizen, ada yang berdoa moga anak kembar mereka juga akan menjadi doktor seperti kami. Kami gembira video tersebut sedikit sebanyak beri inspirasi kepada orang lain.
“Bagi yang mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan, jangan mudah berputus asa apabila mendepani cabaran. Apabila sedang ‘down’, kuatkan semangat dan ingat kita sedang bawa harapan ibu bapa.
“Ibu bapalah menjadi asbab kami di sini hari ini. Kami takkan sampai ke tahap ini tanpa mereka,” akhirinya.
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Catatan Terakhir
Sumber : mstar.com.my
Leave a Reply