Nampaknya hari ini merupakan hari Ramadan terakhir kita, dan esok kita bakal menyambut kedatangan bulan Syawal dan meraikan Hari Raya Aidilfitri. Walaupun kita semua tidak dapat pulang ke kampung disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara, namun kita masih dapat bercuti untuk berhari raya bersama keluarga di rumah.
Bagaimanapun, bukan semua orang dapat bercuti pada hari pertama Syawal dan perlu bekerja. Hal ini jelas bagi petugas barisan hadapan, petugas kesihatan terutamanya, apabila cuti mereka dibekukan dek kerana peningkatan kes jangkitan COV1D-19 yang mendadak. Menerusi perkongsian sebuah video di TikTok oleh seorang petugas kesihatan, dapat dilihat bagaimana kesedihan menyelubungi mereka apabila tidak dapat bercuti sempena Hari Raya Aidilfitri.
“Ya Allah semoga hati-hati kami terus ikhlas dan ikhlas dalam meneruskan perjuangan ini,” tulis petugas kesihatan tersebut yang turut berkongsikan videonya di Instagram.
Memang sedih melihat petugas barisan hadapan yang masih perlu bekerja pada hari raya pertama. Dalam pada itu, wargamaya yang lain menitipkan ucapan terima kasih buat petugas barisan hadapan di atas jasa mereka mengorbankan cuti.
“Bersyukur kita masih dapat cuti, cuma tak dapat rentas negeri je. Petugas barisan hadapan lagilah tak dapat cuti langsung. Semoga dipermudahkan segala urusan,” ujar salah seorang pengguna TikTok di ruangan komen video tersebut.
Sementara itu, orang ramai juga terus menyeru agar semua pihak berganding bahu dalam menghapuskan wabak yang membunuh ini dengan segera. Kasihan kepada petugas barisan hadapan yang sentiasa berpenat lelah dan bertungkus lumus dalam mengekang penularan. Semoga ini raya terakhir kita dalam keadaan pandemik, dan raya tahun hadapan semua kembali normal.
Sumber daripada: Tiktok & Instagram
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Catatan Terakhir
Sumber : https://www.koolfm.com.my/
Leave a Reply